‘Orang Kelantan yang tinggal di Kelantan tak semua nak kemajuan’

Seorang penulis yang tinggal di Bangi, Selangor berpendapat bukan semua orang Kelantan inginkan kemajuan sebaliknya hanya mahukan Melayu-Islam memerintah.

Menurut Khairul Hakimin Muhammad, rakyat Kelantan yang tinggal di negeri itu tidak terkesan dengan pelbagai sindiran dan cemuhan orang ramai termasuk masalah bekalan air bersih.

“Orang Kelantan yang tinggal di Kelantan tak semua nak kemajuan. Mereka nak Melayu-Islam memerintah. Mereka nak aman damai. Mereka nak tenang-tenang.

“Sindirlah pasal air ke, pasal kemajuan ke, pasal stesen bas ke, mereka tenang je sebenarnya,” kata pengarang kira-kira 20 naskhah buku itu.

Dia yang berasal dari Mentakab, Pahang itu juga berpendapat kemajuan membawa maksud peningkatan kos makanan, barangan dan pengangkutan.

“Yang nak kemajuan itu, biasanya belum masuk dalam kepala mereka tentang: maju = mahal.

“Apabila satu-satu tempat itu maju, makanan akan mahal. Pengangkutan mahal. Baju mahal. Serba-serbi mahal,” ujarnya menerusi hantaran di Facebook.

Walaupun tidak menyokong dengan menyebut ‘Pas’ atau ‘Perikatan Nasional’ tetapi Khairul menganggap keadaan ekonomi di Kelantan elok sahaja dengan pentadbiran kerajaan diterajui Pas yang tanpa rekod rasuah.

Dia sebaliknya menulis ‘Pak Lebai’ merujuk pada gelaran atau sindiran yang cenderung digunakan oleh pengkritik kerajaan negeri Pas Kelantan.

Dakwa Khairul lagi, rakyat Kelantan tahu kepimpinan ‘Pak Lebai’ lebih sayangkan Islam berbanding sibuk untuk majukan negeri sehingga tergadai maruah agama dan bangsa.

“Jadi, elok tenang-tenang sahaja. Kedai makan buka sokmo, orang berniaga sana sini tak ada siapa kacau. Ekonomi ok sahaja.

“33 tahun tanpa rasuah, 33 tahun SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) tak tahu nak cari salah. 33 tahun bersama Pak Lebai yang dikata tak reti memerintah.

“Mereka tahu Pak Lebai itu lebih sayangkan Islam dari sibuk nak maju sana maju sini, Islam tergadai, Melayu hilang maruah begitu sahaja.

“Kagum dibuatnya,” tambah Khairul lagi sekali gus mengundang reaksi warga maya dengan lebih 6,000 tanda emoji dan hampir 1,500 komentar hanya dalam tempoh 17 jam dimuat naik.

 

BACA JUGA Kenyataan Hadi beri kesan buruk, ancam kestabilan negara