Pelaburan AWS akan memberi dampak besar kepada inovasi, transformasi digital negara

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli melihat pelaburan wilayah data oleh Amazon Web Services (AWS) sebagai suatu pelaburan yang akan memberikan dampak besar kepada inovasi dan transformasi digital negara.

“Pelaburan ini akan memberi impak yang besar kepada inovasi dan transformasi digital di negara ini. Malaysia juga amat bangga bahawa AWS telah memilih Malaysia sebagai lokasi penting dalam pasaran wilayah data yang berkembang pesat di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan media yang disiarkan di Facebook beliau.

Untuk Malaysia, kehadiran AWS akan membantu penstrukturan semula dan pendigitalisasian ekonomi, kata beliau.

“Malaysia memerlukan data yang terperinci dan boleh dicapai dalam masa sebenar melalui ekosistem yang mendorong proses eksperimentasi dan pembelajaran. Prasyarat ekosistem ini adalah infrastruktur data yang murah, boleh skala, dan selamat.

“Platform pengkomputeran awan seperti AWS memenuhi ketiga-tiga ciri ini, maka kerajaan adalah komited untuk menyokong penerapannya dengan pantas.

“Pelaburan ini juga penting untuk mewujudkan sektor awam dengan pendekatan ‘cloud-first’, yang berkecekapan menyampaikan perkhidmatan awam secara digital demi kesenangan rakyat, dan juga menggunakan data untuk meningkatkan mutu perkhidmatan awam secara berterusan.”

Di pihak Kementerian Ekonomi pula, Rafizi berkata bahawa pihaknya memacu transformasi digital melalui inisiatif MyDigital.

Salah satu fokus utama MyDigital adalah untuk hasilkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dalam sektor digital dan data, bagi memastikan Malaysia terus kompetitif serta dapat beralih ke masyarakat yang digital.

Hasrat ini selaras dengan aspirasi Malaysian Digital Economy Blueprint.