Pembeli rumah pertama dapat manfaat Belanjawan 2023

Belanjawan 2023 dilihat akan membawa sedikit kestabilan ke dalam pasaran hartanah walaupun tidak ketara untuk mengubah trend sedia ada, kata Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari.

Menerusi satu kenyataan, beliau berkata, pasaran kediaman akan mengukuh bersama dengan peningkatan sehingga tiga peratus pada tahun ini bagi aktiviti urus niaga.

Menurutnya, pemaju dengan projek baharu yang menarik akan berjaya melancarkannya di pasaran kerana pembeli tempatan dan asing telah kembali.

Mengulas mengenai inisiatif sektor hartanah dalam belanjawan, Kashif berkata, peruntukan untuk membantu pekerja ekonomi gig mendapatkan pinjaman gadai janji telah ditingkatkan kepada 20,000 peminjam membabitkan sejumlah RM5 bilion.

Jelasnya, langkah tersebut penting kerana tanpa bantuan sedemikian, jumlah pekerja gig yang akan terpinggir daripada pasaran perumahan akan bertambah.

“Ini (tanpa bantuan pinjaman gadai janji) akan menghalang mereka daripada membina kekayaan yang paling selamat dan strategi paling terbukti iaitu pemilikan rumah.

“Terdapat lebih daripada empat juta pekerja gig di Malaysia, dan individu-individu ini biasanya tidak mempunyai pendapatan tetap, menjadikan mereka sukar untuk mendapatkan gadai janji tradisional daripada bank untuk membeli sebuah rumah.

“Jaminan kredit perumahan untuk pekerja gig ini akan membantu 20,000 rakyat Malaysia membeli rumah sendiri dan memberi lonjakan ke hadapan dalam mewujudkan jaminan kewangan untuk keluarga mereka,” katanya.

Beliau menambah, duti setem adalah sumber pendapatan yang penting, tetapi kerajaan telah memutuskan ekonomi akan meraih manfaat lebih banyak daripada lanjutan pengecualian duti setem penuh untuk rumah sehingga RM500,000 hingga akhir tahun 2025.

Ujarnya, bagi rumah bernilai sehingga RM1 juta pula, kadar pengecualian duti setem akan ditingkatkan sehingga 75 peratus berbanding 50 peratus sebelum ini.

“Pengecualian duti setem adalah penting kerana cukai ini mengurangkan kuasa beli pembeli.

“Ini menjerat pasangan warga emas di rumah yang terlalu besar buat mereka dan menghalang peluang orang muda untuk membeli rumah yang lebih besar untuk menampung penambahan ahli keluarga.

“Kami percaya bahawa harus ada kelonggaran sedikit untuk membeli atau menjual rumah. Ini adalah salah satu transaksi yang terbesar kebanyakan orang akan buat dalam hidup mereka.

“Maka, mengecualikan pembeli daripada duti setem menghapuskan salah satu kesukaran buat mereka,” tambahnya lagi.