Pinda laporan 1MDB: Najib, Arul Kanda bebas atau bela diri ditentukan esok

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan membuat keputusan sama ada Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy dibebaskan atau membela diri atas pertuduhan meminda laporan audit syarikat pelaburan negara itu pada Jumaat.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang kini Hakim Mahkamah Rayuan di Putrajaya akan membacakan keputusan berkenaan pada pukul 9 pagi.

Sebelum ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram namun bekas Hakim Mahkamah Persekutuan berusia 79 tahun ini meninggal dunia pada 29 Januari lalu.

Prosiding akan diteruskan oleh pasukan pendakwaan sedia ada antaranya Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib.

Pihak pembelaan diwakili peguam Tan Sri Shafee Abdullah bagi pihak Najib manakala Datuk N Sivananthan untuk Arul Kanda.

Pada 7 September tahun lalu, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas mengemukakan 16 saksi termasuk bekas Ketua Setiausaha Negara Allahyarham Tan Sri Dr Ali Hamsa dan dua bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang serta Tan Sri Dr Madinah Mohamad.

Turut dipanggil sebagai saksi ialah bekas Pengerusi 1MDB Tan Sri Mohd Bakke Salleh dan bekas Pengarah Audit Jabatan Audit Negara (NAD) Saadatul Nafisah Bashir Ahmad.

Bekas Perdana Menteri didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda, 46, pula didakwa bersubahat dengan Najib, 69, dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi bekas Menteri Kewangan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya antara 22 dan 26 Feb 2016.

Mereka berdua didakwa mengikut Seksyen 23 (1) dan 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

BACA JUGA: Permohonan Najib ketepi hakim Mahkamah Rayuan ditolak