Selangor Saring: Lebih 22,000 jalani pemeriksaan kesihatan percuma – MB

Sebanyak 22,513 pendaftaran pemeriksaan kesihatan percuma direkodkan menerusi program Selangor Saring sepanjang tahun lalu, kata Datuk Seri Amirudin Shari.

Menteri Besar berkata sebanyak 49 peratus atau hampir separuh kes dalam inisiatif Selangor Saring memerlukan tindakan susulan bagi tujuan pencegahan dan rawatan awal.

“Angka ini hampir separuh daripada sampel dan langkah susulan awal pasti mampu menyumbang kebaikan kepada mereka.

“Insya-Allah, lanjutan Program Saring Selangor 2023 baru-baru ini diharap dapat mewujudkan masyarakat sihat,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Rabu.

Menurutnya, inisiatif tersebut juga seiring dengan matlamat Kita Selangor Penyayang yang sentiasa terlaksana.

“Usaha pencegahan dibuat oleh kerajaan negeri supaya penduduk Selangor dapat memiliki kehidupan yang bermutu berikutan pandemik Covid-19 yang telah memberikan kesan kepada masyarakat daripada aspek sosial, ekonomi dan kesihatan,” katanya.

Pasukan Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA) DUN Bukit Melawati membantu orang ramai melakukan proses pendaftaran Selangor Saring sempena program Jelajah Selangor Penyayang di Dataran Eco Grandeur Puncak Alam, DUN Jeram pada 26 Februari 2023. Foto FB SUKA

Program Selangor Saring diperkenalkan antara Mei hingga September 2022 bagi membantu orang ramai diberi pemahaman yang menyeluruh mengenai kesihatan dan mengesan awal sebarang risiko penyakit dengan peruntukan sebanyak RM3.4 juta.

Pemeriksaan berkenaan menyasar mana-mana individu yang ada sejarah perubatan keluarga, obesiti dan mengamalkan gaya hidup tidak sihat.

Antara saringan kesihatan yang ditawarkan termasuk pemeriksaan fizikal, ujian darah dan air kencing, pemeriksaan mata, swab serviks, ujian prostat, mammogram dan ujian iFOBT (sampel tinja untuk darah).

Penerusan inisiatif Selangor Saring untuk tahun 2023 dimantapkan lagi dengan pelbagai perkhidmatan demi kesedaran kesihatan warga Selangor dengan peruntukan RM2.6 juta.

Saringan untuk tiga kategori penyakit utama disediakan di samping penambahan saringan gigi, telinga serta fisioterapi.

Warga Selangor berminat boleh mendaftar melalui aplikasi SELangkah.

BACA JUGA: Program Saring Selangor diteruskan, manfaat 31 ribu penerima