Skim Perubatan Madani tanda kerajaan cakna golongan kurang kemampuan

Inisiatif Kerajaan Perpaduan untuk memperkenalkan Skim Perubatan Madani dengan peruntukan RM120 juta, disambut baik pengamal perubatan di negara ini kerana ia menunjukkan bahawa kerajaan cakna dengan keperluan golongan kurang kemampuan.

Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, Profesor Datuk Dr Andrew Mohanraj berkata skim tersebut sememangnya sangat dialu-alukan kerana ia tepat pada waktunya.

”Ini menunjukan keprihatinan Kerajaan Perpaduan terhadap golongan miskin dan kurang berkemampuan. ‘Mengambil contoh seperti di zaman Nabi Muhammad SAW di Madinah. Keperluan fakir miskin diberi perhatian dan keutamaan oleh pemerintahan baginda.

”Walaupun peruntukan skim ini kecil, tetapi saya berpendapat, jumlah itu mungkin boleh ditingkatkan lagi pada belanjawan yang akan datang apabila ekonomi negara beransur pulih,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.

Beliau mengulas demikian apabila ditanya mengenai pasca Belanjawan 2023 Malaysia Madani yang melibatkan sektor kesihatan termasuk Skim Perubatan Madani.

Dalam pembentangan belanjawan 24 Februari lalu, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan skim itu khusus untuk golongan miskin mendapatkan rawatan kesihatan di klinik dan pengamal perubatan am swasta (GP) seperti yang dilaksanakan kerajaan Selangor.

Untuk rekod, Anwar turut berkata, sektor kesihatan menerima peruntukan kedua terbesar dalam belanjawan kali ini, iaitu sebanyak RM36.3 bilion berbanding RM32.4 bilion pada tahun lepas.

Menurut Anwar, komponen utama peruntukan itu melibatkan keperluan perolehan ubat-ubatan, reagen, vaksin dan bahan guna habis termasuk peruntukan RM3 bilion bagi lantikan baharu secara tetap dan kontrak kepada lebih 1,500 pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi yang telah menunggu sekian lama.

Mengulas mengenai peruntukan sebanyak RM3 bilion, Dr Andrew turut menyambut baik peruntukan yang akan menambahkan lagi tenaga kerja kesihatan di sektor awam secara serta-merta.

”Ia sekali gus membawa kepada perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat melibatkan perkhidmatan kesihatan awam di negara ini.

”Namun saya berpandangan, keperluan terkini adalah lebih daripada 1,500 pegawai yang ditetapkan.

”Jadi, saya berharap angka itu akan dapat ditingkatkan apabila ekonomi negara beransur pulih,” katanya.