Tiada cadangan memansuhkan SOSMA

Kerajaan tidak ada cadangan untuk memansuhkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 yang lebih dikenali sebagai SOSMA memandangkan pihak Polis Diraja Malaysia masih memerlukan undang-undang tersebut.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih memerlukan undang-undang berkenaan agar tindakan segera boleh diambil untuk mengelakkan sebarang kegentaran awam dan ancaman kepada kedaulatan negara dan kesejahteraan rakyat,” kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam jawapan bertulis kepada Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan (Tasek Gelugor-PN).

Saifuddin menambah bahawa kerajaan komited untuk menambahbaik SOSMA bagi memastikan keamanan dan keselamatan negara terpelihara. Pada masa sama SOSMA harus diimbangi dengan hak masyarakat serta kepentingan dan ketenteraman negara.

Beliau turut menyatakan bilangan tahanan SOSMA yang menghadapi perbicaraan iaitu 46 bagi kes penyeludupan/pemerdagangan manusia, 2 bagi kes elemen keganasan dan seramai 147 orang lagi dituduh di bawah Bab VIB Jenayah Terancang, Kanun Keseksaan.