Wakil DAP tegur MP yang merokok di bangunan Parlimen

Ahli Parlimen Kota Melaka dari DAP, Khoo Poay Tiong menegur beberapa wakil rakyat yang didakwa merokok di bangunan Parlimen.

Beliau ketika bangkit dalam sesi soalan tambahan kepada timbalan menteri kesihatan berkata, ada Ahli Parlimen yang merokok di kawasan itu, termasuk dalam bilik Whip Ahli Parlimen.

Beliau juga meminta agar Ahli-Ahli Parlimen memberi contoh yang baik sebagai wakil rakyat kerana bangunan Parlimen itu sendiri adalah kawasan larangan merokok.

“Saya nak minta perhatian Timbalan Menteri Kesihatan. Banyak usaha dijalankan kementerian untuk laksanakan larangan merokok tapi saya nak minta kita jangan pergi terlalu jauh, kita tumpu pada bangunan Parlimen ini.

“Ramai yang masih merokok sungguh pun bangunan Parlimen adalah kawasan larangan merokok. Kita lihat di bilik Whip juga, ramai yang merokok dalam bilik Whip.

“Saya rasa kita harus tunjuk contoh yang baik kepada semua. Kita adalah wakil rakyat.

“Apa pandangan Timbalan Menteri Kesihatan? Apa usaha yang harus kita lakukan terhadap perokok untuk kita beri pendidikan kepada mereka kalau nak merokok, pergi ke luar sana (di kawasan dibenarkan merokok). Jangan menyusahkan orang lain,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab soalan itu, Lukanisman Awang Sauni kemudian menasihatkan agar Ahli-Ahli Parlimen dapat membuang tabiat merokok, tetapi sekiranya ingin diteruskan, beliau menyarankan agar merokok di ruangan yang bersesuaian.

 

BACA JUGA Lebih 24,000 mangsa banjir di enam negeri