Elak masjid dicemari elemen rosak akidah dan perpaduan, titah Sultan Selangor

Sultan Selangor menitahkan agar semua pegawai masjid terutamanya imam dan nazir agar terus memelihara kemuliaan institusi masjid daripada dicemari oleh elemen yang boleh merosakkan akidah, perpaduan dan kesatuan ummah.

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah program bagi memakmurkan masjid seperti kuliah, ceramah dan tazkirah hanya boleh disampaikan oleh mereka yang mempunyai tauliah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Tauliah MAIS.

Baginda bertitah demikian dalam Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan kepada 1,256 nazir dan imam masjid seluruh negeri itu di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang semalam.

Antara menerima watikah ialah Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani serta bekas Pengarah Bukan Bebas dan Bukan Eksekutif Petronas Dagangan Bhd, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, masing-masing sebagai nazir Masjid An-Nur dan Masjid Al-Falah di Subang Jaya.

Sultan Selangor turut mengulangi peringatan agar semua masjid kekal bebas daripada sebarang pengaruh dan elemen politik kepartian.

Titah baginda, masjid perlu dijadikan asas dan medium utama umat Islam untuk bersepakat tanpa mengira perbezaan pangkat, kedudukan, perbezaan pandangan dan fahaman politik.

“Beta tidak berkenan masjid dijadikan medan politik dan propaganda politik kepartian. Masjid tidak seharusnya menjadi jurang pemisah atas dasar perbezaan fahaman politik dan dendam politik.

“Kuliah-kuliah agama yang dijalankan di masjid-masjid juga tidak sepatutnya dijadikan sebagai platform untuk menghina, mengumpat, menfitnah dan mencaci mana-mana pihak.

“Jika perkara ini berlaku, ia akan menyebabkan persengketaan berpanjangan dan akan merosakkan ikatan persaudaraan sesama umat Islam,” titah baginda.

Dalam pada itu, baginda menitahkan nazir di semua masjid seluruh negeri agar memperuntukkan sebahagian daripada kewangan masjid bagi menyediakan kelengkapan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk merekod serta memantau semua aktiviti ceramah.

“Baginda berpandangan bahawa kelengkapan ICT di masjid akan memberi manfaat kepada pihak masjid dan ahli kariah kerana setiap perjalanan ceramah dibuat secara langsung atau dalam talian boleh dikongsi oleh mereka yang tidak hadir ke majlis ilmu tersebut, selain mudah dirujuk semula apabila diperlukan,” kata Selangor Royal Office dalam kenyataan di Facebook.

Turut berangkat mengiringi baginda ialah Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada 1,256 nazir dan imam masjid seluruh negeri itu di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang pada 2 Mac 2023. Foto Selangor Royal Office

 

Para imam dan nazir menadah tangan berdoa dalam istiadat pengurniaan watikah pelantikan di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang.

Sultan Sharafuddin bertitah masjid boleh berfungsi dengan lebih baik sebagai pusat maklumat yang boleh membekal data kepada semua agensi agama di Selangor.

“Melalui penggunaan teknologi (ICT) juga, MAIS boleh memantau dan menyemak laporan kewangan semua masjid dan surau dengan kaedah dalam talian.

“Ini boleh mengelak berlaku penyelewengan dalam pengurusan kewangan masjid dan surau di negeri ini,” kata baginda.

BACA JUGA: Sultan Selangor berkenan terima serahan zakat perniagaan RM24 juta