Kerajaan takkan campurtangan dengan keputusan mahkamah

Kerajaan takkan campurtangan dalam keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan mantan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dari tuduhan meminda laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Fahmi yang juga merupakan jurucakap Kerajaan Perpaduan menyatakan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah berkali -kali menegaskan bahawa beliau dan pentadbiran beliau tidak akan campurtangan dalam perkara berkaitan dengan mahkamah.

“Keputusan ini ialah satu proses undang-undang yang perlu dihormati,” kata beliau di sidang media pasca mesyuarat Kabinet ketika mengulas komentar netizen yang mendakwa keputusan mahkamah tersebut adalah hasil daripada campurtangan kerajaan.

Pagi tadi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Najib dan mantan ketua pegawai eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy dari tuduhan tersebut setelah pihak pendakwa raya gagal membuktikan ada kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh.

Menjawab soalan lain berkaitan cadangan beliau untuk menubuhkan jawatankuasa khas berkaitan skandal 1MDB, Fahmi berkata keperluan untuk jawatankuasa akan diperhalusi sekiranya ada mekanisme yang boleh mempercepatkan proses penghantaran balik dana 1MDB.

Baru-baru ini Kementerian Kewangan Diperbadankan dan 1MDB berjaya memperoleh RM8.06 bilion hasil dari perjanjian yang ditandatangani dengan dua syarikat antarabangsa International Petroleum Investment Company (IPIC) dan Aabar Investments PJS (Aabar PJS).

BACA JUGA: MoF Inc peroleh RM8.064 bilion

Najib, Arul Kanda bebas daripada tuduhan pinda laporan 1MDB