Najib, Arul Kanda bebas daripada tuduhan pinda laporan 1MDB

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy daripada pertuduhan mengubah laporan akhir audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi mengelakkan tindakan undang-undang.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie dalam kes melibatkan  bekas Perdana Menteri itu, lapor Utusan Malaysia pada Jumaat.

Mahkamah turut memutuskan bahawa Arul Kanda layak mendapat sijil indemniti yang menghalangnya daripada dikenakan sebarang tindakan undang-undang.

Najib dan Arul Kanda didakwa buat kali pertama di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 12 Disember 2018.

Pada 14 Mac 2019, kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini untuk dibicarakan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Pada 7 September tahun lalu, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas mengemukakan 16 saksi termasuk bekas Ketua Setiausaha Negara Allahyarham Tan Sri Dr Ali Hamsa dan dua bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang serta Tan Sri Dr Madinah Mohamad.

Turut dipanggil sebagai saksi ialah bekas Pengerusi 1MDB Tan Sri Mohd Bakke Salleh dan bekas Pengarah Audit Jabatan Audit Negara (NAD) Saadatul Nafisah Bashir Ahmad.

Bekas Perdana Menteri didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda, 46, pula didakwa bersubahat dengan Najib, 69, dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi bekas Menteri Kewangan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya antara 22 dan 26 Feb 2016.

Mereka berdua didakwa mengikut Seksyen 23 (1) dan 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

BACA JUGA: Najib yang patut bayar RM5 juta kepada Altantuya