Pendapat | Cubaan tukar kerajaan: Antara ketebalan serban dan keceluparan mulut
Nampaknya PAS dan Perikatan Naional (PN) masih tidak puas hati lagi dengan pembentukan kerajaan baharu.
Setelah pembentukan kerajaan perpaduan yang mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu, kepimpinan utama PAS terutamanya Haji Hadi Awang masih lagi tidak puas hati.
Mungkin kerana kehilangan jawatan duta bertaraf menteri atau kerana belum puas memanaskan kerusi di takhta kekuasaan dengan pendapatan bulanan ribuan ringgit.
Hampir 33 bulan kerajaan tebuk atap di bentuk pasca PRU14 melalui Langkah Sheraton yang penuh kecurangan, kita memerhatikan keseluruhannya tiada apa-apa dasar positif dilakukan untuk memulihkan kedudukan ekonomi negara ketika dan selepas pasca COVID 19.
Malah semua agenda PAS yang dilaungkan seperti RUU 355 semuanya ke ‘laut’. Kalau adapun, jawapannya “dalam proses”. Agenda mereka lebih kepada agenda pentadbiran biasa dan pengekalan kuasa politik.
Setelah lebih tiga bulan (melangkaui 100 hari) kerajaan perpaduan, kini kedengaran semula laungan untuk merubah kerajaan.
Sungguh aneh kerana dalam kesungguhan kerajaan membetulkan kepincangan pentadbiran terdahulu, meluruskan ekonomi negara dan menyemarakkan kembali aganda perindustrian, PAS masih kemaruk mahu menjatuhkan kerajaan. Caranya kini melalui kononnya “atap yang telah bocor”.
Menceroboh samada melalui menebuk atap atau melalui atap yang telah bocor, kedua-duanya adalah salah dan kaedah yang sangat kotor, jijik dan politik curang.
Karakter
Mereka memulakan pencerobohan curang ini dengan dimulai melalui cubaan untuk membunuh karakter kepimpinan utama kerajaan iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI).
Keduanya cubaan untuk mengkucar-kacirkan parti-parti dalam kerajaan perpaduan, terutamanya untuk mengusutkan kedudukan UMNO/BN dalam kerajaan perpaduan. Dan, ketiga memberikan “gambaran hitam’ terhadap semua inisiatif baik kerajaan.
Jika dalam PRU15, DSAI dan DAP dijadikan bahan untuk dibaham. Mereka menggunakan agenda bangsa, ketaksuban agama dan meng’komunis’kan DAP, untuk memporak-perandakan pemikiran rakyat terutamanya generasi muda.
Mereka melambangkan diri dan pakatan mereka sebagai wali-wali suci yang bersih daripada noda dan dosa. Mereka yang kononnya menjauhkan diri daripada korupsi tetapi mempelopori “sumbangan” dan “derma” yang telah disucikan dari takrifan rasuah atau korupsi.
Siapa sahaja bertentangan atau berselisih falsafah politik dengan mereka, maka merekalah DAP dan pendokong komunis.
Bangsa dijadikan perisai untuk meraih kekuasaan tanpa mempedulikan Malaysia sebagai negara berbilang bangsa dan pelbagai etnik kaum yang ujud. Kedudukan negara dengan perlbagai agama seolah-oleh tidak dihormati dan diraikan.
Yang penting matlamat politik mesti dicapai melalui apa sahaja kaedah, hatta menggunakan sentimen yang boleh mencetuskan keresahan kaum dan agama.
Kini kelihatan kerajaan perpaduan pimpinan DSAI sedang meluncur dengan progresif, mendahulukan agenda rakyat, meraih sokongan dan dokongan antarabangsa.
Mengukuhkan kembali setiakawan ASEAN melalui kunjungan ke Indonesia, Brunei, Singapura, Thailand dan Filipina dengan memeterai beberapa kolaborasi strategik perniagaaan, memulihkan kembali dasar fiskal negara.
Pentadbiran DSAI juga mengukuhkan kembali agensi pentadbiran kerajaan dengan amalan tatakelola terbaik (good governance) dan dasar anti rasuah yang tiada tolak ansur lagi.
Sedang bibir celuparnya hanya melantunkan agenda jijik, kotor dan tiada amanah kepimpinan. Serban tebal kini sudah tidak seiring dengan bibir yang berbisa demi untuk berkuasa.
Namun pembangkang masih mengatur langkah untuk mengaibkan prestasi DSAI dan kerajaan.
Cubaan juga dengan langkah memporak-perandakan kerajaan. Kenyataan terkini yang kononnya sebagai ‘ramalan’ bahawa kerajaan DSAI tidak akan kekal lama dan kerajaan akan runtuh melalui atap yang bocor pula.
Ini semua adalah kenyataan yang menunjukan serban di kepala tidak mempunyai sebarang makna dalam menghormati titah diraja ketika pembukaan Parlimen baru-baru ini.
Sedangkan legitimasi kerajaan sekarang telah pun diuji di Parlimen dengan perkenan pula oleh Yang di-Pertuan Agong serta mendapat ‘endorsement’ Majlis Raja-Raja Melayu seharusnya tidak dipersoalkan lagi.
Tunggulah sehingga tempoh kerajaan berakhir maka berpencaklah ketika itu.
Pembangkang
Kenyataan serta hujah ahli Parlimen pembangkang dalam membahaskan Bajet 2023 langsung tiada intipati untuk mendokong serta mengukuhkan bajet.
Ia lebih kepada dongengan kosong tanpa fakta dan analisis perekonomian yang strategik dan kukuh. Telusurilah perbahasan ahli Parlimen pembangkang yang boleh dicapai melalui capaian internet.
Kecuali beberapa orang, keseluruhannya amat menghampakan termasuk Ketua Pembangkang sendiri. Ia langsung tidak menggambarkan amalan terbaik (good practices) serta peranan semak imbang. Ia lebih kepada cubaan membunuh karakter DSAI dan kerajaan perpaduan.
Cuba bandingkan hujahan DSAI ketika membahaskan bajet kerajaan terdahulu ketika menjadi Ketua Pembangkang. Analisisnya berfakta, dengan berpaksi penyelidikan terhadap ekonomi global dan data-data yang dikemukakan adalah data yang autentik dan boleh dipercayai (credible).
Maklumat perolehan beliau merupakan aset ilmiah yang sangat tepat dan menjurus kepada penyelesian dan pemantapan bajet.
Bandingkan hujahan Ketua Pembangkang sekarang! Penuh dengan hampas dan sampah sarap yang tidak boleh diperakukan dalam pengukuhan bajet 2023.
Kesatuan antara anggota kerajaan amat penting dalam mempertahankan kerajaan. Dunia politik negara masa kini jelas menggambarkan bahawa berat dan tebalnya serban bukan lagi menggambarkan kealiman dan pengetahuan yang bernas.
Islam hanya pada lambang dan bukan lagi pada roh dan amalannya. Menyanggahkan hujah kotor dan kolot pembangkan dengan fakta yang bernas dan padu adalah cabaran kepada blok kerajaan.
Hujah dangkal dan fakta yang alirakan dengan niat yang curang hendaklah dibalas dengan data dan fakta yang benar lagi jitu.
Rakan-rakan dalam kerajaan samada PH, BN, GRS, GPS dan rakan-rakan lain harus cekal menghadapi cabaran ini, rakyat wajib didahulukan daripada perakus kuasa yang hanya akan memusnahkan masadepan negara.
Jangan terpersona dengan janji pangkat dan kedudukan. Semua itu retorik. Jangan dipersonakan dengan serban yang tebal, senyum yang manis tetapi hakikatnya hanyalah kemahuan untuk merampas kuasa.
Sedang bibir celuparnya hanya melantunkan agenda jijik, kotor dan tiada amanah kepimpinan. Serban tebal kini sudah tidak seiring dengan bibir yang berbisa demi untuk berkuasa.
- Artikel ini merupakan pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian Harapan Daily