RM10 juta menerusi Nadma, bantu mangsa banjir Johor
Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM10 juta menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi membeli barangan keperluan dan bantuan kepada mangsa banjir di Johor.
”Saya dimaklumkan terdapat kekurangan selimut, bantal dan tilam. Ketua Pengarah Nadma sudah memberitahu Pegawai Daerah agar pembelian dilakukan segera dan pembayaran kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah akan dilakukan segera sebagai tindakan pantas Nadma bagi menyelesaikan masalah kekurangan itu,” kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata demikian kepada media selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) New Kota, semalam.
Hadir sama dalam lawatan itu adalah Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid memaklumkan bahawa kerajaan turut menyediakan peruntukan sebanyak RM7.6 juta sebagai tindakan segera meningkatkan sistem perparitan di Kota Tinggi, Johor.
Katanya, punca banjir di negeri selatan tanah air itu adalah kerana hujan pada tahap yang sangat luar biasa, sehingga menyebabkan paras air di Sungai Johor meningkat.
BACA JUGA: Banjir di Johor makin buruk, mangsa meningkat kepada 33,149 orang
Â