Hadi Awang merobohkan demokrasi

Tindakan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang yang merobohkan demokrasi, kata Pengerusi AMANAH negeri Kedah, Dato’ Dr Ismail Salleh, amat merugikan negara setelah banyak perubahan berjaya dilaksanakan sejak PH-BN mulai menerajui kepimpinan Kerajaan Pusat yang ditunjangi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Seharusnya mandat yang diberi oleh rakyat dalam pilihan raya umum ke-15 yang lalu dihormati dan bukannya dicemari dengan usaha berterusan oleh Perikatan Nasional (PN) untuk melakukan Langkah Sheraton 2.0 dengan pertemuan Jakarta dan London.

“Dalam sesi Parlimen kali ini, setelah tiga bulan pembentukan Kerajaan Perpaduan, Presiden Pas sekali lagi membuat ucapan menggambarkan beliau belum boleh menerima hakikat dan demokrasi.

” Pengakuan beliau dengan bangga menjadi perancang kepada Langkah Sheraton pada tahun 2020 amat memalukan seluruh rakyat Malaysia yang mengakibatkan jatuhnya sebuah kerajaan mandat rakyat,” ujar beliau yang juga merupakan Adun Pengkalan Kundor.

Malah tegasnya, pertikaian berterusan yang dizahirkan oleh Hadi boleh mewujudkan ketidakstabilan politik dalam negara yang berpunca daripada pemikiran beliau yang beranggapan ia sendiri maupun gabungan politiknya sahajalah yang betul dan layak memerintah negara.

Kini tambah Dr Ismail, sudah sampai masanya bagi rakyat dan pengundi menolak pemikiran pemimpin sebegini kerana ia bukan sahaja merugikan rakyat tetapi juga negara ini.

BACA JUGA: Kenyataan Hadi beri kesan buruk, ancam kestabilan negara