Larangan ahli politik beri kuliah, khutbah di masjid jelas dituju pada Pas 

Titah tegas Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang melarang semua ahli politik dari berkuliah di masjid-masjid dan surau di negeri itu, memberi satu tamparan hebat kepada kerajaan negeri yang dipimpin Pas.

Pengerusi Biro Undang-Undang (KANUN) AMANAH, Dr Zulqarnain Luqman berkata, biarpun titah Sultan Mizan tidak menyebut mana-mana parti politik, namun ia jelas ditujukan kepada Pas.

“Titah Tuanku Sultan itu menunjukkan bahawa baginda amat mengambil berat tentang berlakunya penyalahgunaan fungsi masjid sebagai sebuah institusi agama.

“Walau pun titah Tuanku tidak menyebut parti politik mana yang menyalahgunakan fungsi masjid dan surau, tetapi ianya jelas bahawa titah tersebut ditujukan kepada aktivis dan kepimpinan Pas.

“…ini kerana dalam pengetahuan umum, ramai aktivis dan pemimpin Pas mengajar di masjid dan surau-surau,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily semalam.

Ahli politik

Semalam, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) mengeluarkan surat pekeliling yang tidak membenarkan semua kepimpinan dan aktivis politik dari menyampaikan apa-apa ceramah, kuliah, atau pengajaran agama di masjid dan surau dalam negeri Terengganu.

Semua kepimpinan dan aktivis politik juga tidak dibenarkan bertindak sebagai khatib dan imam solat Jumaat di masjid-masjid di Terengganu.

Notis yang dikeluarkan itu selepas Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dukacita dengan penglibatan segelintir ahli politik yang menyampaikan kuliah, ceramah dan pengajaran agama di masjid, serta bertindak sebagai khatib dan imam solat Jumaat di masjid tanpa kebenaran daripada MAIDAM.

Zulqarnain berkata, kenyataan MAIDAM jelas menyebut bahawa Sultan Mizan mendapati ada masjid dan surau di Terengganu telah disalahgunakan bagi tujuan politik kepartian sehingga menimbulkan keresahan dan perselisihan di kalangan masyarakat.

Beliau mengingatkan bahawa kedudukan Tuanku Sultan sebagai Ketua Agama Islam adalah termaktub dalam Perlembagaan negeri dan Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam (Terengganu) 2001.

Oleh itu, semua pihak hendaklah akur dengan arahan pihak autoriti agama Islam.

Baca juga: PH Terengganu alu-alukan ketegasan MAIDAM larang ahli politik berkuliah di masjid, surau