Pencapaian 100 hari kerajaan Anwar Ibrahim

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke 10 pada 24 Nov 2022. Di sini kita mengimbas pencapaian 100 hari kerajaan pimpinan Anwar.

Pindaan perlembagaan automatik untuk taraf kewarganegaraan

Pada bulan lalu, Kabinet bersetuju meminda Perlembagaan Persekutuan agar kewarganegaraan boleh diberikan secara automatik kepada kanak-kanak yang dilahirkan oleh para ibu warga Malaysia di luar negara.

Usaha ini dibuat oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi Datuk Azalina Othman Said.

Menu Rahmah

Inisiatif ini diusahakan agar masyarakat dalam kumpulan B40 boleh mendapatkan makanan pada harga RM5. Ini kerana mereka merupakan kumpulan paling terkesan dari kenaikan kos sara hidup.

Usaha yang diterajui oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub turut mendapat sokongan persatuan pengusaha restoran.

Keutamaan untuk Sabah dan Sarawak

Dari sudut politik, pelantikan Datuk Seri Fadillah Yusof sebagai Timbalan Perdana Menteri menunjukkan bahawa pentadbiran Anwar memberikan perhatian khusus kepada Sabah dan Sarawak.

Anwar turut mengumumkan geran tahunan khas sebanyak RM300 juta untuk Sarawak dan RM260 juta untuk Sabah.

Selain itu kedua-dua negeri tersebut telah diberikan autonomi untuk menentukan projek infrastruktur yang bernilai kurang RM50 juta.

Potongan gaji

Sebagai perdana menteri dan menteri kewangan, Anwar tidak menerima gaji. Selain itu beliau turut mengumumkan pemotongan gaji anggota kabinet sebanyak 20 peratus sehingga keadaan ekonomi pulih.

Subsidi tarif elektrik bersasar

Subsidi tarif elektrik bersasar untuk isi rumah, industri kecil dan sederhana dan sektor pertanian akan menjimatkan kerajaan sejumlah RM4.16 bilion.

Keluarkan Myanmar dari Asean

Dari sudut dasar luar dan hubungan luar, cadangan Anwar agar Myanmar dikeluarkan daripada Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) akan memberikan pertubuhan serantau tersebut taring kerana rata-rata pengkritik menganggap platform ASEAN sebagai platform sembang kedai kopi.

BACA JUGA: Pindaan perlembagaan: Kewarganegaraan untuk anak yang dilahirkan oleh ibu warga Malaysia