Reformasi pendekatan, strategi politik dengan mengangkat perjuangan Islam, hak orang Melayu

Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional AMANAH, Faiz Fadzil, berkata AMANAH perlu reformasi semula pendekatan dan strategi politiknya supaya dilihat relevan dalam mengangkat perjuangan Islam dan membela hak orang Melayu.

Katanya lagi, AMANAH perlu membawa pendekatan yang tidak ekstrim dan konsep sederhana perlu diterapkan kepada masyarakat supaya agama Islam sentiasa mulia dan dihormati.

“Pada 2018 pencapaian dari 11 kerusi telah merosot kepada 8 kerusi pada tahun 2022 ekoran gelombang sentimen Melayu Islam yang telah dimainkan dengan menjadikan DAP sebagai ‘punching bag’.

” Menyedari gelombang ini, ahli dan penyokong AMANAH tidak boleh selamanya menyalahklan gelombang tersebut, sebaliknya perlu bangkit untuk mengimbangi gelombang ini.

” Apa gunanya jika dasar perjuangan AMANAH adalah Islam, sedangkan orang Melayu Islam tidak begitu merasai agenda perjuangan ini,” ujar beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir.

Tambah Faiz lagi, perjuangan membentuk negara yang bersih dari rasuah berdasarkan prinsip integriti dan tadbir urus yang baik serta menjaga kebajikan rakyat akan dilihat lebih baik dari perjuangan agama yang ekstrim.

Malah tegas beliau, negara ini bukan berada dalam konflik perang seperti di Afghanistan, Palestin atau Bosnia yang memerlukan fahaman jihad perang dan kebencian kepada musuh tetapi semua warganegara ini telah hidup dalam keadaan aman.

Jelasnya lagi, bukan Islam dalam negara ini bukannya musuh, sebaliknya merupakan manusia yang berhak kepada keadilan dan ihsan.

Justeru itu kata beliau, jihad di Malaysia yang lebih relevan adalah jihad ekonomi, pendidikan dan juga kenegaraan yang berdasarkan kepada konsep rahmah bertunjangkan keadilan sosial, ihsan dan kasih sayang.

Faiz turut berkata, bahawa kerajaan dengan wawasan Malaysia Madani membawa agenda rahmah dengan penerimaan baik rakyat kini membuktikan bahawa rakyat mahukan kesungguhan kerajaan menyelesaikan masalah rakyat.

Tambahnya, keinginan rakyat inilah yang perlu digarap peluang oleh AMANAH supaya terus kekal disokong rakyat. Tidak juga dinafikan sentimen ketaksuban menidakkan kewajaran.

Sehubungan itu beliau menyarankan agenda ‘Rahmah Untuk Semua’ perlu ditonjolkan oleh AMANAH dan ianya harus mendasari penyelesaian kepada setiap permasalahan rakyat merentasi kaum samada dari aspek ekonomi, pendidikan, sosial maupun tatakelola supaya agenda rahmat tersebut benar-benar kelihatan.

Agenda rahmat untuk semua juga ujarnya adalah lebih tepat dengan perjuangan Islam dan objektif asas pengutusan Rasulullah.

Â