689 vesel bakal dibina, tingkat jumlah pendaratan ikan

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sebanyak 689 unit vesel telah diperaku dengan pecahan 70 buah vesel bagi Program Pemodenan Vesel dan 619 vesel bagi Program Mekanisasi Tangkapan.

Beliau berharap pembinaan vesel moden seperti itu harus diperbanyakkan lagi bagi menggantikan bot tradisional supaya negara dapat meningkatkan lagi jumlah pendaratan ikan pada masa hadapan.

Selain itu, jelasnya, pembinaan vesel dapat membantu menjana pendapatan, meningkatkan ekonomi dan menambah baik keselamatan nelayan.

“Semalam, saya berkesempatan melihat pembinaan sebuah vesel besi berukuran 29 meter panjang berciri moden milik Syarikat Amir Vision Sdn. Bhd di MSET Shipbuilding Corporation Sdn Bhd, Pulau Duyung, Kuala Terengganu.

“Anggaran kos pembinaan kapal moden ini adalah RM8 juta.

“Setakat 31 Januari 2023, Agrobank telah meluluskan sebanyak 404 buah vesel bernilai RM131 juta,” katanya.

Dalam masa sama, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja memaklumkan bahawa Jabatan Perikanan Malaysia menyasarkan sebanyak 1,300,000 tan metrik tangkapan ikan merangkumi pendaratan perikanan laut pantai dan laut dalam.

 

BACA JUGA Kecaman MP Kapar terhadap Menu Rahmah menghasilkan ‘Menu Halimah’