AMANAH adakan konvensyen khas hari ini

Parti Amanah Negara (AMANAH) mengadakan konvensyen khas di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam, Selangor hari ini.

Difahamkan, mesyuarat tersebut diadakan bagi membuat pindaan perlembagaan dalam menentukan hala tuju parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu.

Konvensyen khas tersebut dibenarkan menurut peruntukan di bawah Fasal 12 perlembagaan parti yang diterajui oleh Mohamad Sabu itu.

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, konvesyen khas berkenaan bagi meminda perlembagaan sebanyak lapan fasal bagi memantapkan kekuatan jentera parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu.

Antara fasal yang menjadi tumpuan ialah pemansuhan pemilihan Jawatankuasa Pimpinan Negeri dan lantikan Pengerusi Negeri melalui persetujuan Presiden parti dan Jawatankuasa Pimpinan Nasional.

“Setelah berbincang melibatkan kepimpinan, maka kami sebulat suara bersetuju untuk membuat pemindaan perlembagaan ini.

“Pindaan yang baru ini bukan atas niat untuk merampas hak ahli jentera, sebaliknya ia adalah iltizam untuk memperkuatkan parti agar terus kukuh dan bersatu hati,” katanya semasa berucap dalam Konvensyen Khas AMANAH 2023.

Turut hadir Naib Presiden Datuk Mahfuz Omar dan Pengarah Komunikasi Khalid Ibrahim.

Salahuddin yang juga merupakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan pemindaan perlembagaan ini ialah ikhtiar murni, tanpa melibatkan sebarang kepentingan pihak tertentu.

“Pastinya kami mengambil kira semua pandangan dan memperincikan peraturan-selaras dengan persetujuan bersama (ahli parti) supaya tidak timbul persepsi atau tohmahan terhadap kepimpinan.

“Di samping itu juga, kita seharusnya mengambil ibrah dan pengajaran para nabi ketika berdepan dengan rintangan agar perselisihan sesama kita (ahli parti) dapat diatasi ,” ujarnya lagi.

Seramai 718 akar umbi dan perwakilan daripada seluruh negara hadir dalam perbincangan parti tersebut.

17 perwakilan terdiri daripada jentera dan sayap parti mengambil bahagian dalam siri perbahasan iaitu Pemuda AMANAH Nasional, Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) dan Angkatan Wanita Muda (WARDAH) serta wakil-wakil negeri.

Turut dibangkitkan antaranya pengurangan jumlah daripada 20 orang kepada 7 orang untuk menubuhkan cawangan dan pengurangan korum mesyuarat ahli jawatankuasa negeri daripada satu per dua kepada satu pertiga sahaja.

Difahamkan, pemilihan AMANAH dijangka akan berlangsung pada November depan.

BACA JUGA 200 sertai AMANAH di Seberang Jaya