Elak pertumpahan darah, patahkan budaya ghulub, melampau

Parti Amanah Negara (AMANAH) perlu bergerak lebih agresif untuk menarik hati pengundi Melayu agar tidak terpengaruh dengan budaya ghulub (melampau) sehingga menghancurkan negara, kata Presiden Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau menambah, peranan ahli parti berkenaan perlu terlibat sama bagi mematahkan tuduhan jahat yang dilemparkan kepada Kerajaan Perpaduan.

“Pihak pusat (parti AMANAH) akan memberi bahan-bahan kepada para ustaz dan asatizah untuk mematahkan tuduhan golongan pelampau ini yang kononnya menuduh Islam terancam di bawah pentadbiran kerajaan.

“Kerana kita tidak mahu pertumpahan darah seperti di Iraq dan Syria akibat perbezaan fahaman, berlaku di sini (Malaysia),” katanya.

AMANAH mengadakan konvensyen khas di Shah Alam hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Konvensional Khas AMANAH Nasional 2023 di IDCC Shah Alam, hari ini.

Mengulas lanjut, Mat Sabu yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menegaskan Pakatan Harapan (PH) perlu menguasai pandangan awam seperti mana kejayaan mereka yang memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Politik persepsi yang pernah dibawa PH ketika pilihan raya 2018 (PRU14) berjaya mempengaruhi keputusan rakyat dan akhirnya kita menang.

“Oleh itu, kita perlu melakukan langkah yang sama supaya pengundi atas pagar khususnya anak muda tidak lagi mengundi Perikatan Nasional (PN),” ujarnya lagi.

Terdahulu, konvensyen khas tersebut diadakan bagi membincangkan pemindaan perlembagaan parti melibatkan 8 Fasal.

Seramai 713 perwakilan AMANAH yang menyertai konvensyen itu sepakat dengan pindaan baharu bagi memperkasakan kekuatan jentera dan hala tuju parti.

 

BACA JUGA Hadi mahu langgar titah Sultan ke, tanya netizen

JUGA Hadi Awang merobohkan demokrasi