Najib bebas, Rosmah gembira, rakyat bagaimana?

Media lapor banduan Najib dan Arul Kanda dibebaskan daripada pertuduhan jenayah atas dakwaan jenayah meminda laporan audit 1MDB.

Alasan? Hakim putuskan pendakwa gagal kes prima facie ke atas mereka berdua.

Untuk rekod dalam kes ini, Najib mula didakwa pada tahun 2018 dengan pendakwa telah memangggil 14 saksi.

Mengikut pertuduhan, Najib dikatakan menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan laporan akhir audit 1MDB dipinda sebelum dibentangkan kepada PAC atau Jawatankuasa Kewangan Parlimen bagi mengelakkan dia diambil tindakan.

Untuk pertuduhan kes berkaitan, Najib didakwa di bawah seksyen 23 (1) dan 24 (1) Akta SPRM 2009 (Akta 694).

Najib dan Rosmah

Sebelum ini, Najib telah pun disabitkan bersalah sebulat suara oleh semua mahkamah (Mahkamah Tinggi, Rayuan dan Persekutuan) dalam kes yang membabitkan tuduhan rasuah, salah guna kuasa dan penggubahan wang haram yang melibatkan bekas anak syarikat 1MDB iaitu SRC International.

Dan Najib kini sedang menjalani hukuman penjara.

Difahamkan Najib kini masih berdepan tiga lagi kes jenayah di mahkamah yang semuanya ada kaitan dengan dana 1MDB iaitu melibatkan jumlah wang sama ada bilion atau jutaan ringgit.

Isteri tercinta Najib, Rosmah Mansor dilaporkan agak gembira dengan keputusan mahkamah membebaskan Najib dalam kes terbaharu ini.

Rosmah juga dilaporkan berkata, keputusan itu adalah kemenangan buat keluarga Najib sekaligus dapat memulihkan semangat keluarga Najib.

Agak menarik dari sudut masa. Najib dibebaskan dalam keadaan di Amerika Syarikat (AS) sekarang ini, penjenayah yang terlibat dengan jenayah 1MDB iaitu Roger Ng pula kini dalam dalam proses untuk dihukum.

Pihak pendakwa di sana dilaporkan memohon agar Roger Ng dihukum 15 tahun penjara.

Seorang lagi penjenayah 1MDB, Tim Leissener pula kini sedang dalam proses diperintah mahkamah di AS untuk “surrender” segala aset dia selepas dia mengaku bersalah sebelum ini atas kesalahan jenayah yang juga melibatkan 1MDB.

Apabila Leissner diperintah sebegitu, dari sudut perundangan ianya bermaksud mahkamah tidak membenarkan dia atau dia tidak berhak menikmati hasil dari harta haram yang dia “kebas” dari 1MDB.

Ya, logiknya Rosmah dan keluarga dia sudah tentu boleh tarik nafas lega sedikit apabila mahkamah putuskan Najib tidak bersalah.

Tetapi, adakah rakyat juga boleh bergembira seperti Rosmah?

Saya tidak pasti atas alasan apa mahkamah putuskan pendakwa telah gagal buktikan kes prima facie. Adakah kerana keterangan tidak mencukupi atau bagaimana?

Apapun,tahniah kepada Najib. Seperti saya kata tadi, saya tidak pasti sama ada rakyat juga boleh bergembira seperti Rosmah.

Walhal, semua kes yang melibatkan tuduhan rasuah atau penyelewengan dana 1MDB hakikatnya melibatkan wang rakyat – ya, wang kita semua.

Ya, anda tidak perlu belajar ekonomi untuk memahami apabila berlaku penyelewengan dana awam, apa lagi berbilion ringgit.

Wang berbilion yang patut digunakan atau dibelanjakan untuk kepentingan rakyat seperti membina prasarana awam misalnya hospital dan sekolah kini tidak dapat lagi digunakan.

Yang lebih parah lagi akibat penyelewengan mega itu, negara terpaksa menanggung hutang berbilion atau trilion dan sekali lagi kerajaan kena menggunakan wang rakyat untuk bayar hutang super mega itu.

Sorry Rosmah, in what way your happiness may equally represent our happiness as well?

Sudah tentu saya tidak gembira sama sekali melainkan ada pihak yang boleh yakinkan saya bahawa tiada langsung sekecil zarah perbuatan jenayah dalam semua kes yang melibatkan 1MDB dan 1MDB telah berjaya mengharumkan nama dan imej Malaysia seantero dunia.

BACA JUGA Najib, Arul Kanda bebas daripada tuduhan pinda laporan 1MDB