Peserta konvensyen AMANAH kumpul RM5,350 untuk mangsa banjir Johor

Konvensyen Khas Parti Amanah Negara (AMANAH) yang berlangsung hari ini memungut derma sebanyak RM5,350 dari para perwakilan untuk membantu mangsa banjir di Johor.

Dalam masa yang sama, melalui kerjasama dengan sebuah syarikat, AMANAH akan menghantar 2,000 kit makanan bagi membantu mangsa banjir di selatan tanah air.

[GAMBAR ATAS: Pemimpin AMANAH berdiri di depan lori kontena yang akan menghantar bantuan kepada mangsa banjir di Johor]

Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata bantuan makanan merangkumi barang asas seperti tepung, minyak masak dan biskut adalah hasil kerjasama dengan syarikat Tracol.

“Saya amat menghargai dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Tracol yang sudi membantu mangsa banjir di negeri Johor dan sekitarnya.

“Kami dimaklumkan bahawa bantuan ini akan disalurkan kepada mangsa banjir di Segamat dan Jasin.

“Oleh itu, kami berharap dengan sedikit bantuan ini dapat meringankan beban mereka,” katanya di perkarangan IDCC Shah Alam, hari ini.

Turut hadir sama Timbalan Presiden Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Setiausaha Agung Datuk Dr Mohd Hatta Ramli.

Mengulas lanjut, Mohamad Sabu yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengalu-alukan kerjasama badan sukarelawan mahupun syarikat lain untuk terlibat dalam usaha murni ini.

“Pihak kami berharap agar lebih banyak sukarela yang berkesudian untuk bekerjasama dengan AMANAH.

“Kita sedia maklum keadaan mangsa banjir yang terjejas teruk dan memerlukan bantuan segera,” ujarnya lagi.

Sehingga kini, 50,017 mangsa melibatkan 14,396 keluarga yang dicatatkan di buah tiga negeri.

Johor merekodkan angka yang paling tertinggi iaitu 46,399 mangsa diikuti Pahang 3,029 dan Melaka 555 yang terlibat.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyalurkan bantuan segera RM50 juta

bagi menampung keperluan-keperluan asas di negeri selatan tanah air itu.

 

BACA JUGA AMANAH adakan konvensyen khas hari ini

JUGA Cabaran pertahan, perkukuh kekuatan jentera parti