PM Anwar lawat mangsa banjir, projek tebatan disegera

Perdana Menteri mengumumkan bahawa kerajaan akan menyegerakan projek tebatan bagi mengatasi masalah banjir yang telah melanda di beberapa negeri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa hal tersebut tidak boleh dilengahkan dan harus ditangani dengan lebih serius supaya bencana alam sama tidak berulang.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata demikian semasa melawat mangsa banjir di Segamat, Johor hari ini.

Anwar dan Onn Hafiz mendengar taklimat keadaan terkini banjir di Segamat.

Turut serta dalam lawatan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) itu ialah Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

“Bantuan segera juga telah disalurkan kerajaan Persekutuan dan negeri bagi meringankan beban ditanggung mangsa banjir.

“Moga yang terkesan diberi kesabaran dan dipermudahkan urusan seterusnya,” kata Anwar menerusi hantaran di Facebook.

Pagi tadi di Segamat, Anwar mendengar taklimat perkembangan semasa bencana banjir di daerah itu di Kem 4, Rejimen Artileri Diraja.

Beliau kemudiannya melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Gemereh yang menempatkan 125 penduduk daripada 32 keluarga.

Sepanjang 20 minit meluangkan masa di PPS itu, Anwar turut meninjau ruangan aktiviti psikologi pendidikan untuk anak-anak mangsa banjir yang dikendalikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Anwar sempat meninjau ruangan aktiviti psikologi pendidikan untuk anak-anak mangsa banjir di Segamat.

Anwar kemudiannya melawat mangsa banjir PPS di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Kampung Tengah, yang menampung 502 penduduk dari 133 keluarga.

Setakat jam 4 petang tadi, mangsa banjir di Johor meningkat kepada 46,594 mangsa dengan 279 PPS beroperasi.

Sebelum ini, Anwar berkata, Kerajaan Persekutuan akan menyalurkan bantuan segera berjumlah RM50 juta kepada Johor bagi membantu mangsa bah serta keperluan segera di negeri itu.

BACA JUGA Banjir di Johor makin buruk, mangsa meningkat kepada 33,149 orang