Anwar mahu penjawat awam kemudi tugas besar negara, beri kepercayaan penuh

Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pegawai kerajaan diberikan penuh kepercayaan dalam mengendalikan tugas-tugas besar negara bagi membolehkan mereka menjalankan tanggungjawab dengan lebih cemerlang terutamanya bagi golongan muda.

Perdana Menteri yang menekankan soal ‘itqan fil amal’ (kecemerlangan dalam tugasan) dalam kalangan penjawat awam tidak mahu lagi mereka bergantung kepada pihak perunding luar

Berdasarkan pengalaman berkhidmat selama lapan tahun di Kementerian Kewangan sebelum ini, Anwar berkata, beliau dapat menyaksikan kompetensi pegawai-pegawai mengemudi sesuatu projek, dan jika perlu hanya dibantu satu atau dua konsultan.

“Saya tidak anggap pengambilan konsultan atau peguam swasta tidak penting, tapi saya hendak tunjukkan bahawa tingkat kepakaran kita kalau digarap akan beri ruang kepada yang muda, sebab itu beritahu bukan tentang terlalu banyak konsultan tapi seperti mana ditekankan khidmat kerajaan.

“Kalau perlu satu dua konsultan itu munasabah tetapi dia sendiri memimpin dan memandu projek itu dan barisan penjawat lebih muda dapat pendedahan lebih baik,” katanya ketika berucap dalam perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Dewan Seri Hendon, Putrajaya pada Isnin.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan menteri-menteri di Jabatan Perdana Menteri serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Merujuk kepada kejayaan Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) dan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) memperoleh AS$1.8 bilion (kira-kira RM8.06 bilion) daripada International Petroleum Investment Company (IPIC) dan Aabar Investments PJS (Aabar PJS), Anwar berkata perkara itu antaranya adalah hasil usaha penjawat awam seperti Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kira-kira RM8 bilion yang masuk ke dalam tabung negara itu membuktikan kejayaan dapat dicapai jika kepercayaan dan keyakinan diberi kepada pegawai.

“Tahniah kepada peguam negara dan semua yang terlibat dalam rundingan itu, dan tidak sangat bergantung kepada peguam lain,” katanya.

Jelas beliau, ketika membentangkan belanjawan minggu lalu, pihaknya membuat unjuran tentang pendapatan negara dan ketika itu belum tahu lagi tentang kemasukan dana tunai RM8 bilion tersebut.

Anwar berucap dalam perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya pada 6 Mac 2023. Foto FB Jabatan Perdana Menteri

Beliau turut merakamkan kepada Yang di-Pertuan Agong atas hubungan baik dengan Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE) Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan untuk meleraikan masalah berkaitan IPIC dan 1MDB.

“Ini legakan saya, saya sebut dengan Syeikh Mohamed Zayed, maknanya kalau serahkan teras kepada pegawai dan berikan contoh yang baik, jangan ada kepentingan pimpinan di atas atau ada deal tidak wajar.

“Pegawai boleh pergi dengan yakin, dapat mandat penuh, buatkan yang terbaik, kami beri kepercayaan sepenuhnya. Saya tunjuk maknanya kadar keupayaan penjawat awam ada dan dimanfaatkan, dengan sendiri pulihkan imej penjawat awam ditempat terbaik di negara atau rantau kita,” katanya.

BACA JUGA: Kakitangan awam dapat bantuan khas RM700 sempena Aidilfitri

Â