Banjir: 17 sekolah di Johor terjejas teruk, peruntukan baik pulih disegera – Menteri

Kementerian Pendidikan (KPM) memberi perhatian khusus bagi membaik pulih 17 buah sekolah di Johor yang mengalami kerosakan teruk akibat banjir dengan 14 daripadanya di Segamat.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata kementerian juga akan menyegerakan peruntukan dana bagi membolehkan kerja-kerja membaik pulih sekolah terjejas dapat diselesaikan dalam tempoh dua minggu sebelum sesi persekolahan bermula 19 Mac ini.

“Saya sudah menerima laporan teknikal jurutera yang lihat kerosakan, kita bukan sahaja berdepan kerosakan teknikal sekolah tetapi juga kemusnahan aset termasuk meja guru dan perabot sekolah, ini juga mempunyai satu lagi pusingan assesment,” katanya lapor Astro AWANI.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas meninjau Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bali di sini yang terjejas dengan bencana banjir baru-baru ini.

Fahdlina bergambar bersama sukarelawan mahasiswa UPSI yang menjalankan kerja pembersihan akibat banjir di Sekolah Kebangsaan Chaah pada 5 Mac 2023. Foto FB MPP UPSI
Sukarelawan mahasiswa UPSI membersihkan lumpur di Sekolah Kebangsaan Chaah, Segamat pada 5 Mac 2023. Foto MPP UPSI

Fadhlina berkata berdasarkan laporan yang diterima pihak kementerian, kesemua sekolah terjejas mengalami kerosakan yang kritikal dan memerlukan beberapa fasa penilaian.

Katanya, selain memastikan sesi persekolahan dapat berjalan seperti biasa, penyelenggaraan perlu dilakukan segera bagi memastikan kerosakan tidak menjejaskan keselamatan pelajar dan kakitangan.

BACA JUGA: PM Anwar lawat mangsa banjir, projek tebatan disegera