Had harga siling petrol semasa kekal

Had harga siling petrol semasa kekal kerana harga minyak mentah dunia masih menunjukkan trend tidak stabil ekoran ketidaktentuan ekonomi global yang berterusan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan tidak berhasrat untuk menurunkan had harga siling petrol bagi mengelakkan kerajaan menanggung jumlah subsidi lebih tinggi secara berterusan.

“Bagaimanapun, bagi mengimbangi tanggungan subsidi dengan keperluan untuk terus memelihara kebajikan serta kesejahteraan rakyat, kerajaan sedang menerokai langkah menambah baik pemberian subsidi secara lebih bersasar.

Anwar Ibrahim

“Ini bertujuan mengurangkan ketirisan subsidi dalam masa sama supaya penjimatan subsidi dapat diguna bagi mengoptimumkan perbelanjaan kepada program dan projek yang memberi nilai tambah kepada ekonomi negara,” jelasnya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini sebagai menjawab soalan Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh).

Wakil rakyat Pas itu bertanyakan mengenai perancangan dan tindakan kerajaan berkaitan penstrukturan semula subsidi petrol atau penetapan semula harganya kepada RM1.50 seliter, dalam usaha mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Menurutnya, kerajaan masih mengekalkan harga siling petrol RON95 dan diesel bersubsidi hingga hari ini untuk terus melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak mentah dalam pasaran global.

Walhal, kata Ahli Parlimen Tambun itu, harga pasaran sebenar kedua-dua produk tersebut sudah melebihi paras harga siling yang ditetapkan.

BACA JUGA PM Anwar bangga jentera persekutuan, negeri cekap tangani bencana banjir