Kad laporan 100 hari Mydin vs MP Pas jadi tumpuan netizen

Perkongsian kad laporan 100 hari Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Datuk Dr Ameer Ali Mydin mencuri tumpuan, selepas kad laporan Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad, mengundang pelbagai komen daripada warganet.

Hal ini berlaku selepas Naib Ketua Dewan Muslimat Pas Pulau Pinang itu menyenaraikan 58 kenduri yang beliau hadiri terdiri daripada majlis perkahwinan dan kenduri kesyukuran serta 36 ziarah kematian sebagai pencapaian utama beliau.

Dengan slogan “Kepala Batas Sejahtera” ditukar kepada “Mydin Sejahtera” pengguna maya menganggap laporan khidmat itu adalah satu sindiran kepada wakil rakyat Pas tersebut apabila rekabentuk dan warna yang sama digunakan.

Mydin antara pengusaha yang menyediakan 7 Menu Rahmah dipremisnya, menunjukkan rekod prestasi sebanyak tujuh pencapaian, termasuklah; melakukan siri Jelajah Generasi Pintar terdiri daripada 400 murid dan 5 buah sekolah dan sumbangan Food Bank Mydin setiap bulan serta mendapat penganugerahan Putra Brand Awards 2022 Retail Category (Bronze).

Bukan itu sahaja, Mydin juga menyahut seruan kerajaan dengan menyediakan Menu Rahmah di 28 cawangannya serta memberi 5,000 pek makanan sajian Rahmah di UiTM (Universiti Teknologi MARA).

“Terbaik Mydin. Tiada jawatan MP (Ahli Parlimen) pun boleh buat kerja,” ucap pengguna Tiktok di akaunnya.

“Aku pelik, MP Pas ini tahu ke tidak kerja MP apa? Kenduri dan kematian ini tugas Adun. MP law makers (pembuat dasar), bahas isu, solusi dan rang undang-undang di dewan rakyat,” ujar pengguna Tiktok yang lain.

“Dari pemimpin sampai ke penyokong tidak faham skop kerja. Itu yang sampai Nurul Izzah tewas di PM (Permatang Pauh). Sebab mentaliti pemimpin dan pengundi PN (Perikatan Nasional) macam ini,” kata mereka.

Namun, di sebalik komen kecaman mengkritik, ada juga yang mahu menjadi Ahli Parlimen kerana kerjaya itu ‘lebih mudah’ berbanding pekerjaan mereka sekarang.

“Kalau pergi kenduri kahwin boleh jadi KPI (pencapaian) saya nak jadi MP, sebab kerja hakiki saya amatlah sukar,” kata seorang pengguna Tiktok.

Sementara itu, kad laporan 100 hari terbabit mendapat tontonan mencecah 138,700 dan 4,035 sukaan serta 749 ciapan dalam akaun Tiktokers Mad Marquez.

 

BACA JUGA MP Pas lantik suami sebagai pegawai khas