‘Kalau rasa kami betul, tolong kami’, Salahuddin harap pempengaruh bantu kerajaan
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berharap penggiat media dan pempengaruh dapat membantu kerajaan dalam menghebahkan polisi yang bermanfaat kepada rakyat.
Dalam masa sama, kerajaan Madani, katanya tidak berada dalam sindrom penafian sebaliknya terbuka dengan kritikan membina.
“Tolong bantu kami beri satu peluang setelah rakyat membuat keputusan (pada PRU lalu).
“Kalau rakan media rasa kami (kerajaan) betul, tolong kami. Kalau tidak betul, kritik kami.
“InsyaAllah, kami tidak duduk dalam sindorm penafian. Kami tidak mahu jadi pemimpin yang sombong,” katanya ketika berucap dalam majlis Malam Daya Kreatif Penggiat Media di ibu negara malam tadi.
Beliau turut berharap agar penggiat media menguar-uarkan inisiatif Menu Rahmah yang diusahakan oleh kementerian yang diterajuinya.
“Kalau rasa Menu Rahmah itu betul, bukan pura-pura, bukan kosmetik murahan, bantu kami,” ujarnya.
Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata, inisiatif yang menawarkan makanan pada harga RM5 dan ke bawah itu bertujuan bagi mengisi perut rakyat yang kosong.
“Menu Rahmah ini bertujuan bagi memastikan tiada siapa lagi kelaparan di negara kita.
“Kalau rasa ini bermanfaat kepada rakyat, tolong kami beritahu rakyat. Selagi betul, sokong kami,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan kerajaan pada masa ini tidak mengharapkan pujian melampau kerana rakyat bosan dengan keadaan tersebut.
“Jangan puji kami, kami tak harap itu semua. Orang muak dengan pujian melampau. Itu tidak organik,” tambahnya lagi.
Malam Daya Kreatif Penggiat Media anjuran Malaysia Digital & Influencer Association menghimpunkan pemain media sosial dan pempengaruh.
BACA JUGA KPDN sambut baik peruntukan RM100 juta Jualan Rahmah – Salahuddin