Kedah sudah ada 2 lapangan terbang, Kulim tiada dalam rancangan Persekutuan

Kerajaan Persekutuan tidak pernah membuat sebarang cadangan untuk membangunkan sebuah lapangan terbang di Kulim kerana Kedah sudah mempunyai dua lapangan terbang iaitu Alor Setar dan Langkawi, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Lapangan Terbang Kulim hanya satu cadangan pihak swasta di mana anak syarikat kerajaan negeri Kedah, KXP memerlukan dana swasta untuk membangunkanya.

Oleh itu, katanya, Lapangan Kulim tidak pernah ada dalam rancangan Kerajaan Persekutuan.

Lagipun, katanya, Lapangan Terbang Kulim masih bersifat cadangan dan permohonan aerodrom masih belum dibuat.

Lagipun, katanya semua lapangan terbang di Malaysia berada di bawah rangkaian MAHB (Malaysia Airport Holding Berhad) dan pembangunan di luar MAHB tidak pernah berlaku di negara ini.

Dalam pembentangan Belanjawan 2023 pada Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan cadangan membesarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang, Selangor, namun tidak mempunyai sebarang cadangan untuk pembinaan KXP di Kulim.

Anwar berkata, pembesaran dua lapangan terbang itu dijangka memanfaatkan pertumbuhan ekonomi pada kos jauh lebih rendah berbanding cadangan pembinaan KXP yang dianggarkan berbelanja RM7 bilion, sekali gus tidak boleh dipertimbangkan dalam keadaan sekarang.

Ekoran itu, para penyokong Pas sedang berkempen kononnya Kerajaan Persekutuan menghalang Kedah untuk membangunkan negeri itu.

Projek mega Kedah Aerotropolis, yang merangkumi beberapa komponen termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), merupakan projek berimpak tinggi yang dibangunkan melalui pelaburan syarikat swasta tempatan tanpa melibatkan peruntukan kerajaan Persekutuan.

Sehubungan itu, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata apa yang diperlukan kerajaan negeri ialah kerjasama daripada agensi Persekutuan untuk memudah cara sebarang urusan berkaitan bidang kuasa kerajaan Persekutuan seperti dalam urusan dengan Kementerian Pengangkutan.

 

BACA JUGA Dua AJK Fatwa Kedah tidak terlibat resolusi songsang ulama Pas

JUGA Ambil tindakan fatwa politik melampau MB Kedah