Lebih RM65 juta tangani kesesakan Tambak Johor

Jawatankuasa Khas Bagi Menangani Kesesakan di Tambak Johor hari ini bersetuju dengan pelaksanaan beberapa inisiatif berkaitan yang membabitkan anggaran kos lebih RM65 juta.

Inisiatif pertama menggariskan tiga pecahan projek membabitkan penggabungan dewan, naik taraf dan pembinaan projek baharu di Kompleks Sukan Abu Bakar (KSAB).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu berkata demikian pada sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.

“Ia adalah penggabungan dewan penumpang bas di KSAB, Gelang Patah, Johor, dengan anggaran kos RM25 juta, dan menaik taraf kaunter pemeriksaan lori baharu di Zon Lori Masuk serta Bay Pemeriksaan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) (RM30.647 juta),” katanya.

Selain itu, jelasnya, projek tersebut termasuk membina tandas baharu untuk orang awam merangkumi setiap satu unit di Terminal Bas Eksport, Terminal Bas Import, Kompleks Lori Eksport dan Terminal Lori Import, dengan anggaran kos RM8.63 juta.

Dalam masa sama, beliau yang juga Ahli Parlimen bagi Petra Jaya juga mengumumkan peruntukan berjumlah RM3.83 juta bagi melaksanakan inisiatif Pelan Komunikasi Strategik di kawasan sama.

Fadillah turut menambah kajian semula perjawatan perlu dilakukan bagi mengimbangi beban tugas pegawai berdasarkan trend bilangan pengembara dijangka meningkat hingga 17.2 peratus setiap tahun.

BACA JUGA Formula Rafizi dapat sambutan, lebih 22,000 daftar Inisiatif Pendapatan Rakyat