Menu Rahmah, IPR pastikan harga makanan siap lebih rendah

Dua inisiatif yang berjalan sekarang ialah Menu Rahmah dan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) bertujuan supaya penawaran harga makanan siap di peringkat pekedai adalah lebih rendah.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata demikian pada sidang media penerbitan Indeks Harga Pengguna (IHP) Januari 2023 hari ini.

Katanya, kerajaan menggunakan pelbagai serampang untuk memastikan dasar mempengaruhi keseluruhan rantaian makanan daripada penghasilan bahan mentah sehingga ke harga dibeli pengguna.

Jelasnya, usaha tersebut dilakukan bagi menstabilkan harga makanan di paras lebih sesuai dengan pendapatan rakyat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, kedua-dua inisiatif itu adalah langkah strategik kerajaan untuk menangani komponen inflasi makanan di luar rumah yang tinggi.

Menurutnya, inisiatif IPR dan Menu Rahmah yang membekalkan makanan siap pada harga RM2 dan RM5 membolehkan pengguna mendapat pilihan yang murah malah mendorong persaingan yang lebih segar di pasaran.

Inflasi IHP bagi komponen makanan di luar rumah telah mereda buat pertama kali sejak Ogos 2021, daripada 9.6 peratus pada Disember 2022 kepada 9.3 peratus pada Januari 2023.

Kadar inflasi negara pada Januari 2023 terus menyederhana kepada 3.7 peratus berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Secara perbandingan bulan ke bulan, kenaikan inflasi bagi Januari 2023 ialah 0.2 peratus, berkadaran sama dengan yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.

BACA JUGA Formula Rafizi dapat sambutan, lebih 22,000 daftar Inisiatif Pendapatan Rakyat