PM Anwar bangga jentera persekutuan, negeri cekap tangani bencana banjir

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menzahirkan penghargaannya kepada seluruh agensi kerajaan yang terlibat dengan pantas dalam menangani bencana banjir di Johor.

Menerusi pemerhatian pihaknya, beliau berkata, terdapat kesedaran di semua peringkat penjawat awam dalam melaksanakan tugas mereka dengan ikhlas dan cekap.

Katanya, kecekapan menangani isu banjir di Johor boleh dijadikan sebagai panduan menghadapi banjir di lokasi lain, selepas ini.

“Jasa dan pengorbanan semua petugas akan sentiasa dihargai, baik di peringkat Kerajaan Persekutuan mahupun negeri.

“Ini kerana, orang yang mengalami masalah, tidak sama seperti kita. Mereka tidak mampu untuk menunggu berhari-hari.

“Makanan dan minuman dalam tempoh umpamanya setengah hari atau selewat-lewatnya sebelum 24 jam perlu sampai kepada mangsa banjir, kecuali di tempat yang terputus hubungan, ia mengambil masa satu hari,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu video berdurasi tiga minit 35 saat, yang dimuat naik di Facebook rasminya hari ini.

Semakan Harapan Daily di laman portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapati jumlah mangsa banjir di Johor terus menyaksikan penurunan daripada 49,410 orang (14,125 keluarga) pada 8 pagi tadi kepada 41,624 orang (11,701 keluarga) setakat jam 6 petang tadi.

Semua mangsa banjir itu kini ditempatkan di 238 pusat pemindahan sementara (PPS) di 10 daerah terjejas di negeri tersebut.

BACA JUGA Pusat akan salur bantuan segera RM50 juta pada Johor, kata PM Anwar