Sembilan tahun tragedi MH370, kerajaan tidak henti siasatan – Menteri

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menegaskan kerajaan tidak akan sesekali menghentikan usaha mencari atau siasatan berhubung tragedi yang menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370.

Beliau berkata, tragedi yang berlaku pada 8 Mac 2014 tidak pernah dilupakan dan kerajaan akan menyambung semula operasi pencarian bagi mengesan lokasi terakhirnya jika terdapat maklumat baharu yang boleh dipercayai.

Katanya, Rabu ini merupakan ulang tahun kesembilan tragedi penerbangan MH370 hilang tanpa jejak yang telah meninggalkan seribu tanda tanya kepada ahli keluarga mangsa mengenai apa yang sebenarnya menimpa pesawat malang itu.

Anthony berkata tiada ucapan atau rasa simpati yang mampu mengubati atau memadam kesedihan serta kesengsaraan ahli keluarga 239 penumpang dan anak kapal MH370 yang kehilangan orang tersayang.

“Rakyat Malaysia akan sentiasa bersama anda dan berkongsi beban kesengsaraan ini. Kami menghormati semua nyawa yang terkorban dan tidak akan pernah melupakan mereka,” menurutnya dalam kenyataan, lapor Bernama.

Pada 8 Mac 2014, pesawat MH370 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing namun hilang daripada skrin radar dua jam kemudian.

Susulan itu, operasi mencari secara besar-besaran membabitkan beberapa negara dijalankan di kawasan berkeluasan berjuta-juta kilometer persegi di selatan Lautan Hindi namun pesawat MH370 atau bangkainya gagal ditemukan.