Sultan Johor gerak tiga aset ‘air boat’ berkuasa tinggi bantu operasi banjir

Tiga aset milik Sultan Johor iaitu ‘air boat’ berkuasa tinggi terus digerakkan bagi membantu operasi banjir dengan menghantar bekalan makanan kepada mangsa-mangsa bencana alam itu.

Semalam bot air boat yang dikemudi oleh Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim memulakan perjalanan dari Jeti Gersik, Muar menuju ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gombang yang menempatkan 47 keluarga.

Kemudian Tunku Abu Bakar mengemudi air boat ke Jeti Galeri Darurat Bukit Kepong iaitu lokasi kedua sebelum meredah banjir untuk menyampaikan bantuan makanan di PPS SK Bukit Kepong yang menempatkan 42 keluarga.

Walaupun keadaan hujan, Tunku Abu Bakar turut meluangkan masa meninjau keadaan banjir di sepanjang perjalanan.

Hadir sama Dato Perdana Dalam, Kolonel (B) Datuk Mohamed Perang Musa, Pegawai Daerah Muar Hasrin Kamal Hashim dan Pemangku Pengarah JBPM Johor Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd Rizal Buang.

Terdahulu, kelmarin air boat berkenaan terlibat dalam penghantaraan makanan ke perkampungan Orang Asli di Kahang selepas penempatan mereka dinaiki air.

Tunku Abu Bakar bersalam dengan orang ramai ketika turun meninjau keadaan banjir di Muar pada 5 Mac 2023. Foto FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Keadaan rumah penduduk dinaiki air hingga ke paras bumbung yang sempat dirakam dalam lawatan Tunku Abu Bakar ke Muar dengan menaiki air boat pada 5 Mac 2023.

Mangsa banjir di tiga negeri mencatatkan seramai 51,285 mangsa dengan Johor kekal tertinggi iaitu 47,655, lapor NADMA.

Dalam laporan agensi itu pada pukul 6 pagi, seramai 14,741 keluarga dari 15 daerah terlibat dengan seramai 13,733 di Johor melibatkan 10 daerah.

Di Pahang terdapat 3,029 mangsa dari 860 keluarga di tiga daerah manakala di Melaka terdapat 601 mangsa membabitkan 148 keluarga dari dua daerah.

Kesemua mangsa ditempatkan di 296 pusat pemindahan sementara (PPS).

BACA JUGA: Peserta konvensyen AMANAH kumpul RM5,350 untuk mangsa banjir Johor