Tun M marah dengan 3 inisiatif termasuk tender terbuka, kurangkan tol – Guan Eng

Diugut oleh Tun Dr Mahathir Mohamad untuk dipecat sebanyak tiga kali.

Itu dakwaan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berhubung sikap bekas Perdana Menteri berkenaan ketika menggalas jawatan sebagai Menteri Kewangan pada era pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan pada 2018.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, ugutan itu berlaku ekoran kejayaannya mendapatkan kelulusan Kabinet daripada hampir setiap menteri untuk tiga inisiatif yang sebelum itu tidak dipersetujui oleh Mahathir.

Bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu membantah tiga inisiatif iaitu pemberian peruntukan tahunan RM3.8 juta kepada Ahli Parlimen kerajaan, kajian semula kontrak kerajaan yang diberikan melalui rundingan terus dan tanpa tender terbuka serta cadangan tender terbuka untuk menggalakkan ketelusan dan akauntabiliti awam.

Turut dibantah Mahathir inisiatif pengurangan 18 peratus lebuh raya tol PLUS sebagai langkah pertama ke arah pemansuhan tol.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Guan Eng berkata, beliau berjaya mendapatkan kelulusan Kabinet daripada hampir setiap menteri untuk ketiga-tiga inisiatif yang menimbulkan kemarahan Perdana Menteri.

“Pada setiap tiga peristiwa Mahathir ditolak oleh Kabinet, dia mengugut untuk memecat saya kerana menentangnya atas tiga inisiatif ini.

“Saya bersedia untuk dipecat tetapi terus melaksanakan inisiatif pembaharuan yang memberikan manfaat kepada rakyat.

“Bagaimanapun, Mahathir tidak melaksanakan ugutannya, sebaliknya meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri atas kerelaan sendiri pada Februari 2020,” dedahnya.

Guan Eng berkata demikian mengulas kenyataan Mahathir baru-baru ini yang mendakwa DAP tidak mampu mengawalnya semasa beliau menjadi Perdana Menteri dan Guan Eng yang ketika itu Menteri Kewangan, terpaksa meminta kebenaran daripadanya sebelum mahu melakukan sesuatu dalam kerajaan.

Menurutnya, menteri Kabinet semestinya memaklumkan kepada Perdana Menteri mengenai sebarang inisiatif pembaharuan yang ingin dicadangkan.

Katanya, ia bukan sahaja amalan kelaziman tetapi juga kerana menghormati kedudukan Perdana Menteri.

Walau bagaimanapun, beliau berkata jika Perdana Menteri menolak, satu-satunya alternatif yang tinggal kepada menteri ialah merayu kepada Kabinet untuk mendapatkan kelulusan.

“Ini telah saya lakukan sebanyak tiga kali semasa menjadi Menteri Kewangan antara 2018 hingga 2020 dalam mendapatkan kelulusan Kabinet berbanding bantahan keras Mahathir selaku Perdana Menteri ketika itu,” tambahnya.

BACA JUGA Had harga siling petrol semasa kekal