AWAN Selangor tumpu pengundi Melayu, anak muda sejak berakhirnya PRU15
Angkatan Wanita AMANAH Negara (AWAN) Negeri Selangor akan memberi tumpuan penuh kepada kawasan majoriti Melayu selain mendekati golongan muda menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.
Ketua AWAN Selangor, Rawiyah Zakaria berkata, Pakatan Harapan (PH) termasuk AMANAH perlu bekerja keras dalam usaha mendekati golongan tersebut seterusnya mencatat kemenangan meyakinkan di negeri itu.
Menurutnya, gerak kerja secara berterusan telah dimulakan sejak berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu sebagai langkah persediaan awal.
“Tumpuan akan diberikan di kawasan-kawasan majoriti Melayu serta anak-anak muda kerana ada rasa kerisauan (apa yang) akan berlaku.
“Bagi pengundi bukan Melayu, kita beri keyakinan tinggi bahawa kita dapat sokongan yang masih mantap lagi,” katanya kepada Harapan Daily ketika dihubungi.
Katanya, AWAN Selangor sudah ke hadapan daripada segi persiapan jentera parti dalam usaha melicinkan gerakan membantu PH untuk mengekalkan kemenangan di negeri itu.
Dalam pada itu, Rawiyah turut akan memastikan penyertaan sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita AMANAH yang akan bertanding dalam PRN Selangor nanti.
Tambah beliau yang juga Ketua AWAN Hulu Langat, isu pembahagian kerusi antara PH dan BN perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum sesuatu gerak kerja dapat dilaksanakan dengan jayanya.
“AWAN Selangor akan pastikan bahawa di setiap kawasan yang ditandingi, akan diadakan program-program berkaitan dengan komuniti dan seterusnya sesi pengenalan calon dapat dilakukan apabila selesai soal pembahagian kerusi.
“Tambahan kerajaan negeri Selangor di bawah pemerintahan PH, dengan pelbagai program inisiatif yang telah diperkenalkan dan dinikmati seharusnya sudah dapat menarik sokongan rakyat nanti,” ujarnya.
Terdahulu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengesahkan PRN Selangor akan diadakan selepas Aidilfitri.
BACA JUGA PRN Selangor: PH dan BN dicadang guna satu logo
Â