AWS, Tesla pilih Malaysia kerana yakin politik stabil, dasar ekonomi jelas

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa syarikat Amazon Web Services (AWS) dan Tesla yang terlebih dahulu menghubungi kerajaan Malaysia untuk meneruskan pelaburan di sini kerana dasar ekonomi jelas dan politik stabil.

Ini katanya disebabkan dua pelabur gergasi itu yakin terhadap dasar ekonomi negara yang jelas, selain politik negara yang stabil.

“Dalam konteks AWS dan Tesla, rundingan ini berlaku sejak Disember 2019. Dan Amazon menunggu sehingga mereka percaya kepada satu pentadbiran politik yang stabil dengan dasar serta arahan jelas.

“Ini menyebabkan akhirnya mereka menghubungi kami dan menyatakan kerana politik stabil dan dasar ekonomi jelas, menyebabkan Amazon memilih sebagai pengkalan mereka,” katanya dalam sesi soal jawab Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Amazon telah menangguhkan keputusan untuk melabur di Malaysia sejak di bawah pentadbiran dua kerajaan sebelum ini, yang diterajui Tan Sri Mahiaddin Md Yasin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Ini benar, rundingan telah dimulakan sejak 2019, diteruskan di bawah dua pentadbiran kerajaan berikutnya, tetapi Amazon memang menangguhkan keputusan. Keputusan muktamad Amazon hanya (dicapai) setelah pentadbiran Kerajaan Perpaduan,” kata Anwar.

Beliau menjawab soalan Sim Tze Tzin (Bayan Baru-PH) berkenaan pelaburan Amazon Web Services yang bernilai RM25.5 bilion menjelang tahun 2037. Sim juga bertanya tentang jumlah pekerjaan untuk anak muda seiring kemasukan pelaburan AWS dan Tesla.

Menjawab perkara itu, Anwar menjangkakan puluhan ribu peluang pekerjaan berkualiti dapat disediakan untuk anak muda selepas dua syarikat gergasi itu melabur di dalam negara.

“Soal peluang pekerjaan, (ia) mencecah puluhan ribu kerana keperluan mereka itu bukan sahaja (untuk) badan induk Amazon, tetapi untuk rangkaian itu sendiri kerana menggunakan Cloud dan Data Centre. Itu menyebabkan keperluan pekerjaan mencecah puluhan ribu.

“Saya tak ada kepastian jumlah yang diperlukan kerana ia terikat kepada Amazon.

“Tetapi sebaik sahaja Amazon mengumumkan pelaburan, beberapa syarikat Singapura dan Manila telah menyebut bahawa mereka akan menggunakan kesempatan itu untuk melabur dalam industri sampingan dan lingkaran di bawah Cloud Amazon,” katanya.

Terdahulu, Amazon Web Services (AWS) dilapor bakal membuka infrastruktur serantau baharu di Malaysia, dengan pelaburan bernilai RM25.5 bilion sehingga 2037.

Selain itu, Tesla pula bakal membuka sebuah ibu pejabat di Malaysia dan memperkenalkan Pusat Pengalaman dan Pusat Servis Tesla serta mewujudkan rangkaian pengecas supercharger di Malaysia.

 

BACA JUGA: RM25.5 bilion Amazon bakal buka laluan pelaburan lebih besar, kata PM