Jambatan Bailey di laluan utama Felda Selancar akhirnya siap dibina

Ribuan penduduk sekitar Felda Selancar di Rompin yang bersempadan dengan Johor akhirnya boleh menarik nafas lega apabila jambatan Bailey atau jambatan mudah alih kini siap dibina.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan khabar menggembirakan itu sebentar tadi.

“Alhamdulilah, pemasangan Bailey Bridge di Felda Selancar, Rompin Pahang telah siap dan boleh digunakan untuk kegunaan penduduk di sana,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Sehubungan itu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat menyatakan penghargaan kepada semua pihak terlibat dalam menyiapkan jambatan tersebut.

“Terima kasih buat pihak NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara), ATM (Angkatan Tentara Malaysia), APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia), JKR (Jabatan Kerja Raya) dan semua agensi yang terlibat yang telah menyiapkan jambatan ini dengan segera,” katanya.

Pemasangan jambatan Bailey yang menghubungkan kira-kira 10 tanah rancangan itu dilihat membantu penduduk yang terjejas untuk melakukan urusan perjalanan harian mereka.

Bagaimanapun, jambatan itu adalah langkah sementara bagi memastikan laluan terlibat dapat digunakan semula sebelum jalan baharu dibina oleh JKR nanti.

Pada 1 Mac lalu, jalan utama ke Felda Selancar runtuh akibat limpahan air deras ekoran cuaca hujan berterusan selama beberapa hari.

Kerja-kerja pemasangan jambatan sepanjang lebih 42 meter itu diketuai Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Pilah.

BACA JUGA Pemimpin PH Negeri Sembilan santuni warga emas, cakna nasib rakyat