Kerajaan hargai jasa pasukan SAR di Turkiye, harumkan nama negara
Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) negara yang ke Turkiye bagi membantu mangsa gempa bumi awal Februari lalu, sememangnya telah mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji semangat ditunjukkan pasukan penyelamat ketika menjalankan misi itu, sebagai sesuatu yang luar biasa.
“Semangat yang dipamerkan mereka luar biasa. Hari yang saya pulang dari Turkiye, saya terus ke Parlimen. Saya sebut (di dalam Dewan Rakyat) walaupun saya lihat mereka (pasukan SAR) memang keletihan, tetapi tetap ceria.
“Malah, tidak menggambarkan langsung walau sedikit pun rasa gelisah (dalam kalangan mereka). Semua dilihat bekerja dan berkhidmat dengan penuh semangat.
“Berdasarkan semangat yang ditunjukkan mereka, saya ‘sampaikan’ ke Parlimen (Dewan Rakyat) agar ahli Parlimen belajar dan faham.
“Belajar dan faham bahawa negara ini, kita bangkitkan bukan sahaja dengan tokoh politik atau pemimpin negara, tetapi bersama jentera yang mempunyai keikhlasan berkhidmat dan membela nasib rakyat, sekali gus mengharumkan nama negara di mata dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Pertahanan Awam Tahun 2023 dan Jamuan Makan Tengah Hari Bersama Pasukan Penyelamat Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana Malaysia ke Turkiye, di Parlimen hari ini.
Menurut Anwar lagi, bertugas ketika musim sejuk dan meninggalkan keluarga berminggu-minggu bukanlah satu perkara kecil yang dilakukan pasukan SAR negara.
“Kesungguhan yang ditunjukkan pasukan penyelamat dalam misi SAR itu turut mendapat penghargaan daripada Presiden Turkiye, Reccep Tayyip Erdogan dan juga rakyat negara berkenaan.
“Malah Erdogan juga sangat sentimental. Dengan penuh emosi, beliau menzahirkan penghargaan melalui saya, tetapi saya sedar bahawa bukan saya yang melakukan sumbangan itu.
“Saya hanya menumpang kerana jentera yang bersama-sama mengharumkan nama negara, sekali gus dihormati di Turkiye adalah anda semua (pasukan SAR),” ujarnya dalam majlis tersebut.
Gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Ritcher telah melanda kawasan selatan Turkiye dan barat laut Syria dan kesan gegaran gempa itu dilaporkan turut dirasai di Cyprus dan Lubnan pada 6 Februari lalu.
Untuk rekod, pada 8 Februari, Anwar berkata Malaysia menyalurkan sumbangan lebih RM8.6 juta kepada Turkiye dan Syria bagi membantu mangsa gempa bumi di kedua-dua negara itu.
Pada 15 Februari pula, Anwar tiba di Gaziantep untuk meninjau lokasi bencana dan bertemu pasukan penyelamat negara, sebelum berlepas ke Ankara bagi mengadakan pertemuan dengan Erdogan.
BACA JUGA Lawatan Anwar ke Turkiye hulur bantuan dari Malaysia
Â