Langkah tangani kesan perubahan iklim, bekalan agromakanan
Enam langkah khusus telah diambil oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk menangani kesan perubahan iklim dan memastikan bekalan agromakanan tidak terjejas.
Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, enam langkah tersebut adalah seperti berikut:
a. menggalakkan penggunaan teknologi berasaskan iklim dan automasi termasuk pendekatan pertanian pintar iklim dengan mewujudkan ekosistem yang kondusif untuk industri. Antara teknologi berasaskan iklim yang sedia ada adalah penanaman dalam persekitaran terkawal seperti
kilang tanaman (plant factory)
b. mempergiatkan aktiviti Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan dan Inovasi (R&D&C&I) dalam amalan pertanian alternatif yang berpotensi untuk meningkatkan pengeluaran tanaman yang dapat beradaptasi dengan perubahan iklim seperti varieti padi MR 297 berpotensi ditanam dalam keadaan air yang lebih minima manakala varieti MRQ 76 mempunyai pencirian tahan kemarau. Antara penyelidikan yang
sedang dilaksanakan adalah pembangunan varieti padi yang tahan kemarau dan banjir serta kajian pembangunan baka akuakultur yang mempunyai daya tahan kepada perubahan cuaca.
c. penyediaan kemudahan bekalan air paip dan sistem tangki sebagai sumber air utama di kawasan penternakan untuk kegunaan kandang dan siraman pastura bagi mengurangkan tegasan haba dan memastikan kelangsungan bekalan makanan ternakan pada musim kemarau yang berpanjangan
d. penuaian air hujan dan telaga tiub merupakan teknologi bagi mengatasi masalah kekurangan sumber air semasa musim panas
e. pembuatan silaj dan hay bagi sektor ternakan bertujuan sebagai konservasi makanan di musim terdapat banyak rumput. Silaj dan hay ini akan menjadi sumber bekalan makanan utama ternakan apabila berlaku kekurangan rumput segar semasa kemarau melanda
f. pembinaan kelengkapan infrastruktur amalan pengairan sawah secara Alternate Wetting and Drying (AWD) bagi menggantikan pengairan secara “banjir” untuk mengoptimumkan penggunaan air dan meningkatkan kecekapan infrastruktur pengairan.
Langkah ini selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) dan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025.
BACA JUGA: Belanjawan 2023: Mohamad Sabu harap peruntukan kementeriannya tidak dipotong