Mesin layan diri IPR jadi pilihan ramai warga kota, jimat belanja rakyat

EKSKLUSIF | Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang bermula pada 26 Februari lalu ternyata mendapat sambutan baik dalam kalangan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.

Tinjauan Harapan Daily di LRT Cempaka Ampang hari ini mendapati menu yang dijual bukan sahaja nasi lemak bahkan sajian lain seperti nasi kerabu, nasi impit dan roti planta turut dijual.

Malah, orang ramai yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dilihat telah mula membeli makanan berharga serendah RM2 itu, sejak awal pagi lagi.

Pekerja awam, Faiq Abdul Hadi, 31, berkata jika sebelum ini beliau terpaksa berbelanja sehingga RM20 setiap hari untuk membeli makanan, kini beliau berpeluang untuk menyimpan bagi kegunaan masa depan.

“Sebelum ini, untuk makan sahaja saya perlu ada sekurang-kurangnya RM20 untuk kos makanan.

“Tetapi sekarang dengan adanya mesin layan diri yang menjual menu RM2, saya boleh berjimat RM18,” katanya ketika ditemui Harapan Daily.

Faiq ketika membeli menu RM2 di LRT Cempaka, Ampang pagi tadi. Foto WAN ZAHARI WAN SALLEH

Beliau yang tinggal di Gombak mengakui kualiti makanan siap itu bukan sahaja menyelerakan tetapi juga membantu warga bandar khususnya golongan B40 untuk menanggung kos sara hidup seharian.

“Buat masa sekarang kualiti makanan tahan lama dan rasanya amat sedap, lebih-lebih lagi sambal nasi lemak.

“Saya saran lebih baik kerajaan perbanyakkan lagi bantuan ini khusus di kawasan orang ramai yang memerlukan,” tambahnya lagi.

Hakimi

Senada dengannya, Hakimi, 23, pelajar daripada universiti swasta turut bersetuju agar kerajaan menumpukan inisiatif tersebut di sekitar institusi pengajian.

“Rata-rata mahasiswa berhempas pulas untuk mengeluarkan wang membeli makanan di Lembah Klang.

“Kalau boleh kerajaan tambahkan lagi mesin layan diri di kawasan universiti,” ujarnya.

Norli

Sementara itu, penjaja kecil, Norli, 45, turut menyambut baik inisiatif kerajaan yang dilihat komited membantu golongan yang memerlukan.

“IPR bagus untuk rakyat terutama B40 yang cenderung untuk menggunakan menu ini.

“Bukan itu sahaja, orang lain juga boleh memilih mengikut cita rasa dan selera masing-masing,” jelasnya.

Dalam masa sama, ketika ditanya Harapan Daily berkenaan langkah kerajaan tersebut boleh mewujudkan persaingan pada perniaga kecil, Norli mengakui wujudnya situasi itu.

“Persaingan itu ada (IPR) sebab harga yang ditawarkan RM2, lebih murah berbanding dengan harga biasa.

“Mungkin dari segi mendapatkan bekalan mentah dan bahan-bahan berkenaan daripada pembekal lebih mudah berbanding kami (peniaga kecil).

“Tapi terpulang kepada pengguna untuk pilih, kalau makanan yang dijual sedap, mahal RM50 pun tetap orang beli,” tambahnya lagi.

Untuk rekod, Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) ialah induk yang diusahakan oleh Kementerian Ekonomi bagi meningkatkan pendapatan rakyat selaras dengan kenaikan kos sara hidup.

IPR merangkumi tiga model iaitu Inisiatif Usahawan Tani (INTAN), Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN) yang bertujuan menjana pendapatan rakyat sehingga RM2,000.

Setakat ini, lebih 20,000 peserta telah direkodkan berdaftar di bawah induk tersebut.

BACA JUGA Selangor lancar Inisiatif Pendapatan Rakyat