Moratorium enam bulan untuk mangsa banjir Johor

Putrajaya bersetuju memberi moratorium sekurang-kurangnya selama enam bulan kepada mangsa banjir terjejas di Johor.

Buat masa ini kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tiga bank iaitu Agrobank, Maybank dan CIMB bersetuju memberi moratorium selama enam bulan.

Namun kerajaan masih meneruskan usaha menghubungi syarikat perbankan yang lain untuk mempertimbang mengikut langkah sama memberi moratorium kepada mangsa banjir terjejas.

“Tentang moratorium untuk memudahkan mereka, ada cadangan dari kerajaan negeri Johor untuk buat moratorium bagi peminjam supaya dapat melengahkan bayaran kerana terdesak.

“Setakat ini Agrobank, Maybank dan CIMB telah bersetuju untuk memberi moratorium 6 bulan.

“Dengan langkah ini, sejak semalam dan hari ini kita telah hubungi bank-bank lain supaya mengikuti langkah yang diambil oleh Agrobank, Maybank dan CIMB,” kata beliau dalam sesi soal jawab Perdana Menteri di Dewan Rakyat pagi ini.

Semalam Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz merayu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memberikan moratorium antara tiga hingga enam bulan kepada rakyat yang terjejas banjir.

Ramai mangsa banjir terpaksa menanggung kerugian besar termasuk kerosakan harta benda dan kerugian hasil tanaman dan binatang ternakan akibat bencana tersebut.

Sebelum ini moratorium atau penangguhan pernah diberikan kepada rakyat Malaysia selama enam bulan pada 2020 bagi meringankan beban rakyat akibat penutupan ekonomi ekoran daripada pandemik Covid-19.

 

BACA JUGA: Rundingan terus dibatalkan bukan projek tebatan banjir