Perkukuh pemimpin sebagai pemangkin perpaduan

Kerajaan akan memperkukuhkan pemimpin di semua peringkat sebagai pemangkin perpaduan melalui Dasar Perpaduan Negara sebagai pelan rekonsiliasi nasional untuk menghakis politik dendam dan politik berpaksikan sentimen dan agama, kata Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang.

“Untuk itu, semua peringkat kepimpinan bermula dari peringkat persekutuan, negeri, daerah sehingga peringkat akar umbi perlu menjadi teladan dan contoh terbaik kepada rakyat,” kata Aaron.

“Kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada masa ini merupakan satu konsep pentadbiran kerajaan yang menekankan aspek perpaduan dengan penglibatan semua parti.

Konsep ini juga merupakan salah satu rekonsiliasi bagi mengelakkan politik dendam,” kata beliau dalam jawapan bertulis kepada Wee Ka Siong (Ayer Hitam – BN).

Beliau bertanyakan sama ada kerajaan mempunyai pelan rekonsiliasi untuk tujuan di atas.

Aaron turut menyatakan bahawa Yang Di Pertuan Agong juga telah bertitah sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Parlimen Ke-15 pada 13 Februari 2023 supaya semua wakil rakyat mengetepikan agenda politik sempit dan bersatu hati atas nama perpaduan.

Selain itu Aaron turut menyatakan bahawa politik sentimen dan agama ini adalah diwarisi dari dasar pecah dan perintah penjajah.

BACA JUGA: Komuniti Rahmah keutamaan Kementerian Perpaduan