Peruntukan untuk pembangkang tidak dinafikan, rundinglah dengan kerajaan

Peruntukan untuk pembangkang tidak pernah dinafikan malah masih berpegang pada prinsip bahawa peruntukan sama rata perlu diberi seperti ahli parlimen kerajaan. Justeru itu, pembangkang perlu berunding dengan kerajaan untuk mendapatkannya sebagaimana yang dibuat oleh kerajaan di bawah pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Bera-BN), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau sempat menegur Datuk Seri Shahidan Kasim (Arau-PN), mengatakan ketika pentadbiran Tan Sri Mahiaddin Md Yasin (Pagoh-PN), Pakatan Harapan sebagai blok pembangkang juga langsung tidak mendapat apa-apa peruntukan.

“Tentang peruntukan, saya tidak pernah mengatakan tidak ada. Sepanjang Pagoh jadi Perdana Menteri, kita tak dapat peruntukan. Tetapi tak apa, sebab ini Madani. Madani mesti adil (kata Arau).

“Maknanya dulu Pagoh tak adil lah, itu maksud Arau? Maknanya Arau kata jangan ikut pengalaman lama yang tak beri peruntukan kepada pembangkang kerana itu tak adil.

“Malah kalau ikut Ahli Parlimen Marang, dia kata zalim (jika tak beri peruntukan). Jadi saya tidak mahu zalim,” katanya di Dewan Rakyat hari ini menjawab soalan blok pembangkang berkenaan isu peruntukan kepada mereka.

Pada masa sama kata Anwar, apa yang berlaku ketika pentadbiran Ismail Sabri ialah, pembangkang sendiri mengambil insiatif mengadakan rundingan persefahaman untuk memastikan ahli-ahli parlimen pembangkang mendapat peruntukan sama rata.

Justeru itu pembangkang sewajarnya mengikut hal sama dengan mengadakan rundingan dengan blok kerajaan.

“Apa yang berlaku semasa di bawah Bera? Tidak bermula dengan begitu (terus dapat peruntukan). Tapi bermula dengan rundingan. Rundinglah secara elok. Kota Bharu pun ada dalam proses rundingan ketika itu. Runding.

“Bincang kaedahnya. Saya akan tanya bagaimana Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu. Kalau ada persefahaman itu, boleh jalan. Saya tak ada nak gaduh apa-apa.

“Jadi saya usulkan, mula proses rundingan dan saya akan tugaskan Ketua Whip dan menteri terlibat untuk berunding dan kita putuskan. Kalau cepat selesai, cepat lulus. Kalau selesai esok, lusa kita boleh lulus,” ujarnya.

BACA JUGA: Akta peruntukan pembangunan kawasan dicadangkan

Â