Pulihkan penagih dadah perlu pendekatan saintifik berteras ajaran Islam – Jakim

Pendekatan rawatan dan pemulihan dadah perlu berasaskan pendekatan saintifik yang ditunjangi oleh ajaran agama Islam, kata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Agensi itu berkata, integrasi naqli dan aqli amat diperlukan dalam usaha membimbing, merawat dan memulihkan pesakit penyalahguna dadah.

Katanya dua elemen itu dapat membantu transformasi diri dalam memahami tujuan kehidupan, peranan dan tanggungjawab sebagai khalifah.

“Pendekatan dalam rawatan dan pemulihan dadah perlu berasaskan pendekatan saintifik yang ditunjangi oleh ajaran agama Islam.

“… agar ia lebih strategik dan komprehensif dan melibatkan semua lapisan masyarakat, agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, seterusnya mencari kaedah rawatan yang terbaik” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sebahagian peserta Simposium Amalan Terbaik Perawatan Pusat Pemulihan Dadah Persendirian Islam 2023 yang berlangsung selama dua hari di Institut Latihan Islam Malaysia, Bangi, Selangor pada 7 Mac 2023. Foto Jakim

Berdasarkan Buku Maklumat Dadah Agensi Antidadah Kebangsaan 2021, penyalahgunaan dadah masih lagi merupakan ancaman kepada keselamatan, sosial, kesihatan dan ekonomi di negara, kata kenyataan itu.

“Seramai 123,139 orang telah terlibat dalam penyalahgunaan dadah di Malaysia.

“Daripada jumlah itu, seramai 94,840 orang telah mengikuti program rawatan dan pemulihan,” katanya.

Jelas kenyataan itu, golongan belia dari umur 19 hingga 39 tahun adalah merupakan peratusan tertinggi sebagai penyalahguna dan penagih dadah iaitu 65.9 peratus.

Katanya orang Melayu mencatatkan kadar tertinggi iaitu 78.8 peratus terlibat salah guna dadah.

“Alangkah ruginya jika golongan belia pada tahap umur yang produktif ini, tidak kita manfaatkan untuk pembangunan dan kecemerlangan ummah, bangsa dan negara.

“Inilah senario dan realitinya, dadah masih musuh nombor satu negara,” katanya.

Terdahulu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar telah merasmikan Simposium Amalan Terbaik Perawatan Pusat Pemulihan Dadah Persendirian Islam 2023 yang berlangsung selama dua hari  sejak Selasa di Institut Latihan Islam Malaysia, Bangi, Selangor.

Simposium yang dihadiri oleh 150 peserta itu merupakan anjuran bersama antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Majlis Agama Islam Selangor, Asian Centre for Research On Drug Abuse (ACREDA) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Malaysian Association of Drug Addiction Counselors (MADAC).

Ini merupakan inisiatif dan komitmen Jakim yang berterusan bersama dengan rakan-rakan strategik dalam usaha untuk membantu dan memberikan perkhidmatan bimbingan dan pemulihan kepada penyalahgunaan dadah melalui amalan terbaik perawatan dan pemulihan berteraskan pendekatan kerohanian Islam.

Ia juga bertepatan dengan Pelan Transformasi Al-Falah yang telah diperkenalkan di bawah Teras Kedua iaitu Kesejahteraan Insan, Fokus Keempat: Pengukuhan Perpaduan Ummah dan Keharmonian Tamadun.

Objektif simposium ini adalah untuk memperkasa kaedah rawatan dan pemulihan berasaskan Islam yang sedang diamalkan di pusat-pusat khidmat nasihat dan rawatan penyalahgunaan dadah di seluruh Malaysia.

“Selaras dengan falsafah dan semangat Al-Falah iaitu “Bersama Mencapai Kejayaan”, kita mampu merealisasikan agenda transformasi, islah atau pembaharuan dan pembangunan ummah sejajar dengan aspirasi kerajaan “Membangun Malaysia Madani,” kata Jakim.

“Semoga kita akan terus istiqomah melawan dan memerangi penyalahgunaan najis dadah di negara yang kita cintai ini.”