Rundingan terus dibatalkan bukan projek tebatan banjir

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sekali lagi bahawa kerajaan tidak pernah membatalkan apa-apa projek tebatan banjir di Kelantan mahupun di Johor. Yang dibatalkan hanya rundingan terus untuk tujuan tersebut.

Ini kerana rundingan terus menelan belanja yang amat besar.

“Projek tebatan banjir itu projek mendesak. Tapi kaedahnya janganlah rundingan terus, kerana kos meningkat. Jadi kita kata, kita guna proses tender terhad, tapi percepatkan proses itu. itu sahaja.

“(Saya) bukan batalkan projek tebatan banjir, tapi batalkan (perolehan secara) rundingan terus,” katanya menjawab soalan Shahidan Kasim (Arau-PN) berkenaan banjir ketika sesi soal jawab Perdana Menteri di Dewan Rakyat pagi ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan mendapati penggunaan tender terhad merendahkan kos pelaksanaan projek tebatan banjir.

Beliau turut membidas desas desus bahawa kerajaan mempolitikkan isu tebatan banjir. Hakikatnya beliau berkata, semua projek bukan sahaja projek tebatan banjir, telah pun dinilai semula sejak beliau mentadbir negara.

“Jadi bila kita gunakan tender terhad, kos itu terus menurun. Itu sebab kita guna kaedah itu. Bagi saya ini bukan isu politik. Ini bukan soal tebatan banjir.

“Semua projek yang telah diluluskan tapi belum ditandatangani, saya batalkan untuk memastikan kita ada tender. Takkan itu pun salah?” soalnya.

 

BACA JUGA: PM Anwar bangga jentera persekutuan, negeri cekap tangani bencana banjir