Saifuddin kecualikan Umno dari pembatalan pendaftaran
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail telah menggunakan kuasanya untuk mengecualikan Umno daripada dibatalkan pendaftarannya.
Dalam kenyataannya sebentar tadi, dia berkata kementeriannya memberi pengecualian daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 kepada Umno.
Ia berhubung usul tambahan yang diluluskan dalam Perhimpunan Agung Umno 2022 berkaitan jawatan presiden dan timbalan presiden Umno yang tidak dipertandingkan pada pemilihan parti.
Saifuddin berkata keputusan itu dibuat setelah meneliti ketetapan yang dibuat oleh perhimpunan itu daripada setiausaha Agung Umno pada 3 Mac 2023.
Seksyen 13 berkaitan pembatalan sesebuah pertubuhan.
Menurut seksyen 70 akta itu, menteri boleh menggunakan budi bicara bagi mengecualikan sesebuah pertubuhan daripada mana-mana peruntukan bawahnya.