10 projek PR1MA sakit akan selesai dalam setahun
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengenalpasti hampir 18 projek Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) mempunyai masalah dan dikategori sebagai projek sakit.
Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pasukan khas projek rumah sakit dan terbengkalai yang diwujudkan kementerian itu mensasarkan sekurang-kurangnya 10 buah projek PR1MA akan diselesaikan dalam tempoh satu tahun.
“Buat ketika ini di bawah KPKT dah wujud pasukan khas projek rumah kewat sakit dn terbengkalai yang mana selain dari rumah swasta, kita juga memantau secara rapat projek dibina atau diusahakan oleh agensi berkaitan kerajaan.
“Di bawah PR1MA, berdasarkan meklumat yang saya ada, hampir 18 projek ada sedikit masalah atau memang sakit. Pasukan khas ini mensasarkan sekurang-kurangnya 10 buah projek kita cuba selesaikan dalam tempoh setahun
“Tetapi ia bergantung pada situasi atau keadaan semasa termasuk soal tenaga kerja, termasuk soal kelulusan daripada peringkat KPKT, mahupun komitmen mereka,” katanya dalam sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Shaharizukirnain Abd Kadir (Setiu-PN) yang ingin mengenai jumlah projek PRIMA terbengkalai di seluruh negara dan kriteria tanah yang dipilih untuk pelaksanaan projek itu
Akmal berkata, ketika ini proses pembaikan projek ini sudah berlaku selepas kementerian mendapat rekomendasi dari Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).
Sementara itu, menyentuh mengenai inisiatif untuk membantu pembeli rumah pertama khususnya golongan B40, Akmal Nasrullah berkata antara langkah dilakukan oleh kementerian itu adalah bekerjasama dengan Kementerian Kewangan dengan melancarkan Pembiayaan Perumahan Malaysia (i-Biaya).
“Satu daripada program di bawahnya (i-Biaya) adalah Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) iaitu pembiayaan perumahan tanpa perlu membayar wang pendahuluan yang ditawarkan kepada golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau kumpulan gig ekonomi.
“Dalam pembentangan Belanjawan MADANI 2023, kerajaan bercadang untuk meneruskan inisiatif ini melalui jaminan sehingga RM5 bilion dengan nilai pinjaman untuk manfaat 20,000 peminjam yang memerlukan. Sebagai perbandingan, belanjawan sebelum ini hanya sekitar RM2 bilion,” katanya.
BACA JUGA Selangor sasar bina 60,000 unit rumah menjelang 2025