Harga runcit minyak masak berbotol kekal hingga 7 April

Kerajaan dan pihak industri bersetuju untuk mengekalkan harga minyak masak kelapa sawit tulen untuk tempoh mulai hari ini hingga 7 April.

Menerusi kenyataan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pagi ini, minyak masak botol bagi 1kg kekal pada harga RM6.90, 2kg (RM13.30), 3kg (RM19.60) dan 5kg pada harga RM30.90.

“Selain pelbagai inisiatif di bawah Payung Rahmah, turut diteruskan adalah peranan Kerajaan menerusi KPDN yang menetapkan Harga Runcit Maksimum bagi minyak masak tulen kemasan botol bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum) (No.4) 2023.

“Secara umumnya, terdapat sedikit kenaikan harga minyak sawit mentah untuk bulan Februari berbanding bulan sebelumnya.

“Walau bagaimanapun, berdasarkan rundingan diadakan sebelum ini,kerajaan dan industri bersetuju untuk mengekalkan harga minyak masak kelapa sawit tulen untuk tempoh mulai 8 Mac 2023 hingga 7 April 2023,” katanya.

Sehubungan itu, tegasnya, mana-mana pihak yang didapati menjual melebihi harga maksimum ditetapkan, boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Sabit kesalahan bagi individu boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, manakala bagi syarikat boleh didenda sehingga RM500,000,” katanya lagi.

BACA JUGA Peniaga kawal jualan minyak masak paket