Hari Wanita: 5 menteri wanita Kerajaan Perpaduan 

Sebelum abad ke-20, peranan wanita agak terhad. Mereka hanya ‘layak’ duduk di rumah. Di Eropah misalnya, wanita hanya akan dipanggil bekerja jika tenaga kerja lelaki tidak mencukupi, dan dihalau pulang jika tenaga kerja lelaki sudah genap.

Tahun demi tahun, ia berubah dek kerana desakan ekonomi yang memerlukan lebih banyak tenaga kerja. Jadi, wanita pun mula bekerja atas perubahan zaman. Walaupun begitu, gaji wanita masih lebih rendah berbanding lelaki dan mereka masih tidak diiktiraf seperti sepatutnya.

Bagaimanapun, ia perlahan-lahan berubah. Merujuk sejarah, kemunculan idea Hari Wanita ini bermula dengan dua peristiwa penting pergerakan wanita di Amerika Utara dan rantau Eropah.

Britain memecah tradisi apabila Margaret Thatcher dilantik sebagai Pemimpin Parti Konservatif sejak 1975 hingga 1990, dan dilantik sebagai Perdana Menteri Britain.

Di Amerika, pernah berlaku satu bantahan dan protes dalam kalangan wanita di Amerika Utara mengenai hak wanita mengundi sewaktu pilihan raya di negara-negara tersebut seawal tahun 1909. Bantahan itu diketuai oleh para wanita dari Parti Sosialis Amerika Syarikat yang kemudiannya bertukar menjadi hari rasmi bagi golongan wanita negara tersebut.

Di Asia pula, kemajuan wanita dalam perjuangan menuntut hak yang sama agak perlahan. Contohnya hanya pada 1995, Malaysia meratifikasi Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) yang terbatas kepada artikel tertentu yang tidak bertentangan kandungan Perlembagaan Persekutuan dan konteks undang-undang Islam.

Bahkan Indeks Jurang Gender Global pada tahun 2021 juga menunjukkan kedudukan Malaysia yang masih jauh di belakang (112 daripada 156 negara), terutamanya dalam sektor ekonomi dan politik.

Bagaimanapun, kesedaran wanita Asia kian bertambah saban tahun, sehinggalah ke hari ini. Antaranya adalah apabila kita pernah mempunyai Timbalan Perdana Menteri Wanita Pertama selepas PRU14, iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dengan kemenangan Pakatan Harapan pada PRU15 pada tahun lepas pula, terdapat lima wanita yang dilantik daripada 28 menteri dalam Kerajaan Perpaduan. Mereka adalah Fadhlina Sidek (Menteri Pendidikan), Hannah Yeoh (Kementerian Belia dan Sukan), Dr Zaliha Mustafa (Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), Datuk Seri Azalina Othman Said (Undang-undang dan Reformasi Institusi), dan Datuk Seri Nancy Shukri (Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat).

Perlantikan kelima-lima wanita ini yang diberi peranan untuk memegang portfolio penting dalam Kerajaan Perpaduan adalah satu langkah baik bagi memperkasakan kesaksamaan gender, yang bermula dalam kerajaan sendiri. Ia menunjukkan yang wanita juga mampu untuk mentadbir urus negara dengan cemerlang.

Akhir sekali, pemerkasaan wanita ini tujuannya bukanlah untuk menyaingi lelaki, tetapi untuk mengangkat pencapaian wanita, mempertingkatkan pengetahuan dan kesedaran terhadap ketaksamaan gender, dan menghargai pengorbanan wanita yang turut sama berkorban di samping lelaki.

Mereka inilah ‘wira tak didendang’ bagi setiap keluarga yang turut sama membangunkan generasi yang akan datang. Bak kata pepatah, “Tangan yang mengayun buaian dapat menggoncang dunia”. Diharapkan satu hari nanti, Malaysia dapat mengangkat dan mereformasi nilai kesaksamaan gender dengan lebih serius dan menghargai jasa wanita yang turut sama membangunkan negara ini sejak sekian lama.

Bagi menghargai sumbangan wanita, Hari Wanita diraikan pada 8 Mac setiap tahun, sejak Hari Wanita Sedunia 1975 setelah diiktiraf Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Pengiktirafan ini adalah bagi menghargai dan mengiktiraf kejayaan yang diperoleh golongan wanita di seluruh negara tanpa mengira latar belakang, etnik, bahasa, budaya, ekonomi dan politik.